Tengku Zafrul tampil jadi guru disiplin, ajar topik pelaburan
SHAH ALAM - Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menampilkan kelainan dengan mengajar topik pelaburan diluluskan dalam usaha mendidik orang ramai tentang perkara tersebut di media sosial.
Dalam satu situasi lakonan semula di bilik darjah, beliau yang memainkan peranan sebagai 'Cikgu Zafrul' berkata, pelaburan diluluskan dikira apabila permohonan syarikat luar untuk melabur diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Menurutnya, permohonan syarikat juga perlu diluluskan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (ICA), mempunyai dana pemegang saham sekurang-kurangnya RM2.5 juta dan ke atas atau menggajikan 75 pekerja sepenuh masa.
"Jadi, syarikat yang terlibat hendaklah kemukakan permohonan lesen pengilang terlebih dahulu kepada MIDA.
"Mereka perlu hantar butiran syarikat atau industri, lokasi projek, tempoh pelaksanaan, kos tahunan, maklumat pemegang saham, ekuiti dan lain-lain.
"Memorandum persefahaman (MoU) belum boleh dianggap pelaburan diluluskan," katanya menerusi hantaran video berdurasi lima minit 20 saat di TikTok dan X pada Selasa.
Tengku Zafrul menambah, jumlah peluang pekerjaan bakal diwujudkan dan peratusan pekerja merangkumi pengurusan atau teknikal antara yang perlu dititikberatkan menerusi permohonan terbabit.
Katanya, keutamaan diberikan kepada mereka yang menggunakan komponen dihasilkan dalam negara kerana ia dapat menyumbang peningkatan hasil syarikat tempatan sekali gus merancakkan ekosistem.
"Kita mahu wujudkan pekerjaan bergaji tinggi untuk rakyat, kalau semuanya nak pekerja tak mahir dari segi jangka panjang macam mana negara nak maju?
"Selain itu, kita perlu tahu sumber bahan mentah dan komponen yang digunakan dalam penghasilan. Bagaimana pasaran mereka adakah untuk eksport atau kegunaan tempatan.
"Syarikat juga perlu nyatakan unjuran pendapatan, ada elemen penyelidikan dan pembangunan (R&D) supaya ada pembangunan teknologi. Justeru, tidak mudah nak luluskan pelaburan, kalau setakat hantar MoU memang tak lulus," ujarnya.
Sementara itu, beliau memaklumkan, 98.4 peratus projek sedang dalam perancangan dan hampir siap manakala baki 1.6 peratus belum dilaksanakan berdasarkan statistik dari 2021 sehingga Mac tahun ini.
"Maknanya apabila pelaburan itu diluluskan, memang tunggu masa nak buat sahaja... sangat jarang pelaburan diluluskan tak dilaksanakan," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!