Piala ASEAN 2024: Aguero jangka aksi sengit berdepan Singapura
PENYERANG naturalisasi, Sergio Aguero menjangkakan pertarungan sengit apabila berdepan Singapura pada aksi terakhir Kumpulan A saingan Piala ASEAN 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.
Beliau berkata kedua-dua pasukan berkongsi misi penting dalam memburu slot ke separuh akhir kejohanan berkenaan.
"Satu perlawanan yang penting kerana kemaraan kami bergantung pada keputusan perlawanan itu nanti. Kami sudah bersedia dan sudah tentu kami mahu menang.
"Satu perlawanan yang sukar apabila menentang Singapura kerana kami tahu mereka bermain dengan baik, tetapi kami perlu menggunakan kelebihan bermain di gelanggang sendiri," katanya pada sesi latihan skuad kebangsaan di Wisma FAM di sini hari ini.
Penyerang Sri Pahang FC itu percaya skuad kebangsaan mampu melakar kemenangan sekiranya corak permainan taktikal pada aksi ketiga menentang Thailand tempoh hari dipraktikkan semula.
"Kami perlu menampilkan corak permainan sebenar, jika kami bermain seperti ketika menentang Thailand tempoh hari, kami mempunyai peluang yang besar untuk mara ke separuh akhir," katanya.
Ketika ini, Thailand mengungguli Kumpulan A, berkongsi enam mata bersama Singapura tetapi dibezakan dengan jumlah jaringan manakala Malaysia di tangga ketiga dengan empat mata.
Hanya juara dan naib juara kumpulan layak ke separuh akhir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!