Pusat jagaan kanak-kanak di Kulai diarah tutup sementara

Laporan Sinar Harian berhubung penjaga rumah anak yatim ditahan kes rogol penghuni. (Gambar kecil: Khairin-Nisa)
Laporan Sinar Harian berhubung penjaga rumah anak yatim ditahan kes rogol penghuni. (Gambar kecil: Khairin-Nisa)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah pusat jagaan kanak-kanak swasta di Kulai dekat sini yang tular selepas pengerusinya didakwa terlibat dengan kes rogol dan dera terhadap penghuninya, diarahkan ditutup sementara.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin-Nisa Ismail@Md On berkata, arahan penutupan sementara itu mengikut Seksyen 15 Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) dengan kuasa Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata, pada 9 Disember lepas, pihak JKM Johor telah menjalankan siasatan awal dan mendapati 55 kanak-kanak berada di pusat jagaan itu.

"Hasil siasatan dan intervensi awal, 32 daripada kanak-kanak itu telah dipulangkan kepada ibu bapa kandung mereka pada keesokannya (10 Dis) manakala selebihnya (10 lelaki dan 13 perempuan) diletakkan di tempat selamat di bawah kelolaan JKM dengan menggunakan kuasa pellindung mengikut Seksyen 18 Akta Kanak-kanak 2001.

"Kesemua mereka turut dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak untuk mendapatkan Perintah Sementara di bawah Seksyen 19 (2) agar dapat ditempatkan di tempat selamat yang telah diwartakan di bawah akta tersebut, pada 11 Disember," katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairin-Nisa berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan penderaan kanak-kanak dan pada masa sama menggalakkan agar orang ramai bersama-sama menangani isu itu dengan melaporkan kepada polis atau pejabat JKM berhampiran.

Pada Ahad lepas, media melaporkan pengerusi yang juga pemilik pusat jagaan anak yatim swasta itu didakwa atas dua pertuduhan merogol penghuni berusia 17 tahun dan penganiayaan kanak-kanak di Mahkamah Sesyen di sini, bagaimanapun tertuduh lelaki berusia 59 tahun itu mengaku tidak bersalah.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video di media sosial berdurasi 56 saat dipercayai berlaku di pusat jagaan terbabit yang memaparkan seorang lelaki memukul kanak-kanak perempuan dengan pembaris kayu panjang.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan awal mendapati ia berlaku di rumah jagaan anak yatim sama. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!