Malaysia bakal jadi peneraju dalam bidang keselamatan siber - Anwar
SHAH ALAM - Malaysia berada dalam kapasiti yang tinggi untuk menjadi peneraju dalam bidang keselamatan siber dan bakal memberi impak positif sepanjang tempoh menjadi Pengerusi ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) menyokong usaha Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) untuk terus meneraju inisiatif pengukuhan keselamatan siber negara terutamanya dalam melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).
Menurutnya, selaras dengan Kepengerusian ASEAN 2025, beliau juga dimaklumkan mengenai penganjuran Cyber Defense and Security Exhibition and Conference (CYDES) 2025 dan penyediaan Malaysia Cyber Security Strategy (2025-2030) yang baharu bagi mengukuhkan strategi serta inisiatif berkaitan keselamatan siber negara.
"Petang tadi saya mendengar pembentangan terkait situasi keselamatan siber negara yang semakin mencabar dan kompleks, tatkala mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 2 Tahun 2024.
"Mesyuarat turut bersetuju supaya NACSA menerajui Pusat Kriptografi Negara yang dimulakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan turut membuka ruang kepada penyelidik-penyelidik daripada universiti lain untuk turut terlibat.
"Pusat ini perlu inklusif dengan penglibatan pakar, intelektual dan sektor swasta yang mampu memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam teknologi kriptografi," katanya menerusi Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Anwar menyatakan tahap keselamatan siber Malaysia berada di tahap yang lemah berbanding negara lain.
Beliau berkata, ia mendorong kerajaan memperkenalkan peraturan dan rang undang-undang (RUU) keselamatan siber untuk mengawalnya.
Tambah Anwar, negara tidak ketandusan pakar dalam bidang tersebut namun harus memastikan terdapat kesinambungan antara sektor akademik, keperluan industri serta keutamaan memelihara ekosistem keselamatan siber negara.
"Mesyuarat juga bersetuju supaya Malaysia menyertai Budapest Convention dan United Nation Convention Against Cybercrime bagi menunjukkan komitmen negara dalam menangani jenayah siber di peringkat domestik dan antarabangsa.
"Saya juga zahirkan sokongan supaya satu rang undang-undang jenayah siber digubal bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!