UK umum sekatan baharu ke atas tenaga Rusia

UK mengumumkan gelombang baharu sekatan ke atas kapal armada bayangan yang membawa minyak Rusia, serta dua cabang syarikat tenaga dan peniaga komoditi. Gambar hiasan Reuters
UK mengumumkan gelombang baharu sekatan ke atas kapal armada bayangan yang membawa minyak Rusia, serta dua cabang syarikat tenaga dan peniaga komoditi. Gambar hiasan Reuters
A
A
A

LONDON - United Kingdom (UK) mengumumkan gelombang baharu sekatan ke atas kapal armada bayangan yang membawa minyak Rusia, serta dua cabang syarikat tenaga dan peniaga komoditi.

Perdana Menteri Keir Starmer berikrar untuk meningkatkan "tekanan terhadap ekonomi perang [Presiden Rusia Vladimir] Putin yang terhenti", lapor agensi berita PA Media/dpa.

Pejabatnya di Downing Street juga mengumumkan sokongan kecemasan £35 juta (AS$44.5 juta) untuk membantu Ukraine, menjelang satu lagi musim sejuk dalam perang dengan Rusia.

Ia berlaku ketika Starmer berada di Estonia untuk mesyuarat Pasukan Ekspedisi Bersama (JEF), sebuah gabungan tentera beberapa negara Eropah.

Sekatan yang diumumkan pada Selasa adalah terhadap 20 kapal yang membawa minyak Rusia, serta 2Rivers DMCC dan 2Rivers PTE LTD.

Kerajaan telah mengatakan bahawa lebih 100 kapal telah dikenakan sekatan kerana mengangkut minyak Rusia secara keseluruhan, dan negara lain kini telah bersetuju untuk mencabar kapal di Baltik.

Denmark, Sweden, Poland, Finland dan Estonia telah bersetuju untuk bekerjasama bersama UK untuk menangani kapal-kapal itu.

£35 juta itu terdiri daripada peningkatan tunai £20 juta untuk keperluan tenaga kecemasan seperti membuat pembaikan infrastruktur tenaga dan penjanaan kuasa.

Artikel Berkaitan:

£15 juta lagi adalah untuk sokongan kemanusiaan apabila suhu menurun pada musim sejuk.

Starmer berkata: "Ketika hasil minyak Putin terus menyemarakkan api perang haramnya, keluarga Ukraine mengalami malam yang sejuk dan gelap, selalunya tanpa alat pemanas, lampu atau elektrik, yang disasarkan oleh serangan peluru berpandu Rusia yang tidak henti-hentinya.

"Tetapi serangan sistematik ke atas infrastruktur Ukraine itu tidak akan menjejaskan Ukraine. Sebaliknya ia akan memperkukuh keazaman dan sokongan kami.

"Sekatan ini akan menambah tekanan kepada ekonomi perang Putin yang kian terhenti, sambil kami memperkukuh bantuan kecemasan kepada Ukraine untuk memenuhi keperluan kemanusiaannya dan untuk pembaikan penting kepada sistem tenaga mereka."

Starmer dijadual melawat tentera British yang berkhidmat di sempadan Rusia di Estonia yang berusaha untuk menghalang ancaman jahat Rusia.

Pada Isnin, perdana menteri berkata bahawa Ukraine memerlukan lebih banyak dana dan keupayaan ketika konflik berterusan.

Starmer turut ditanya mengenai langkah tambahan untuk menyokong Ukraine dan menjawab, "Permintaan untuk keupayaan yang lebih tinggi semakin meningkat. Ini adalah wajar, dan Ukraine memerlukan segala keupayaan yang boleh diperoleh, jadi saya rasa kita semua perlu menambah keupayaan dalam bentuk peralatan."

Beliau menambah: "Banyak wang telah dikumpulkan, pembiayaan telah dikumpulkan, tetapi lebih banyak lagi akan diperlukan." - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!