Misteri fenomena UFO belum terungkai

Antara gambar fenomena UFO itu yang berjaya dirakamkan komuniti di negeri terlibat.
Antara gambar fenomena UFO itu yang berjaya dirakamkan komuniti di negeri terlibat.
A
A
A

WASHINGTON - Misteri penampakan dron di New Jersey dan negeri-negeri Timur Laut Amerika Syarikat (AS) terus mencetuskan kegusaran kepada komuniti setempat meskipun agensi kerajaan memberi jaminan tiada ancaman keselamatan setakat ini.

Objek yang berlegar-legar itu dilihat pertama kali pada 18 November lalu dan tiada jawapan jelas tentangnya.

No Image Caption

Sejak beberapa minggu lalu, kejadian itu terus menghantui penduduk dan kehadiran objek terbang tidak dapat dikenal pasti (UFO) berkenaan dilaporkan hampir setiap malam.

Fenomena UFO tersebut dilaporkan di kawasan kejiranan, lokasi sensitif dan kritikal di kira-kira enam negeri termasuk New York, Connecticut, Pennsylvania, Massachusetts dan Virginia.

Pihak berkuasa persekutuan seperti Jabatan Keselamatan Negara (DHS) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) cuba meredakan kebimbangan orang ramai.

Majlis Keselamatan Negara di Rumah Putih juga mengulangi sentimen serupa bahawa dron tersebut tidak mengancam keselamatan awam.

Artikel Berkaitan:

Walaupun jaminan yang kurang meyakinkan, kini timbul pula pelbagai spekulasi yang turut menarik perhatian pentaasub teori konspirasi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat sistem pesawat jarak jauh di Kansas, John Ferguson cuba memberikan penjelasan berdasarkan kepakarannya.

“Dron tersebut mungkin melakukan misi pencarian bahan tertentu di atas permukaan tanah seperti kebocoran gas atau bahan radioaktif.

“Satu-satunya sebab anda menerbangkan pesawat tanpa pemandu (UAV) pada waktu malam adalah untuk menjejaki sesuatu,” katanya menerusi perkongsian di TikTok.

Teori Ferguson turut diterima ramai dan menarik perhatian hos popular, Joe Rogan yang mengendalikan podcast, The Joe Rogan Experience.

Rogan yang sering membincangkan topik tentang makhluk asing dan isu berkaitan juga meluahkan rasa khuatir tentang fenomena UFO tersebut serta mempersoalkan jaminan diberikan kerajaan persekutuan.

“Dakwaan mereka tentang dron itu tidak berbahaya dan bukan ancaman asing sangat mencurigakan,” lapor New York Post memetik kenyataannya.

TEKANAN POLITIK

Fenomena UFO yang gagal dirungkai hingga kini juga telah mencetuskan tekanan politik.

Gabenor New Jersey, Phil Murphy dilaporkan sudah menghantar surat kepada Presiden Joe Biden menuntut penjelasan tentang situasi mengganggu itu memandangkan penggal perkhidmatan beliau berbaki beberapa minggu lagi sebelum diambil alih oleh Donald Trump.

Trump yang bakal dilantik sebagai Presiden ke-47 AS mendakwa kerajaan mengetahui 'sesuatu' tentang fenomena UFO tersebut, namun sengaja menyembunyikan maklumat tersebut.

“Jika kerajaan benar-benar tidak tahu-menahu, mereka sepatutnya sudah menembak jatuh objek itu dan bukannya membiarkan orang ramai terus tertanya-tanya,” ujarnya.

Kebanyakan penduduk mendakwa saiz dron tersebut adalah lebih besar daripada UAV biasa dan hanya muncul pada waktu malam.
Kebanyakan penduduk mendakwa saiz dron tersebut adalah lebih besar daripada UAV biasa dan hanya muncul pada waktu malam.

Susulan pelbagai desakan, pihak berkuasa telah menghantar sistem pengesan dron ke New York selepas Gabenor Kathy Hochul meminta bantuan persekutuan susulan penampakan objek terbang misteri di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Stewart hingga memaksa penutupan selama 60 minit pada minggu lalu.

“Kerajaan negeri memerlukan kuasa lebih meluas untuk menangani fenomena tersebut,” katanya menerusi catatan di platform X.

Dalam kenyataan berasingan, Senator Chuck Schumer berharap untuk meluluskan rang undang-undang (RUU) yang akan memberikan kuasa kepada penguatkuasa undang-undang tempatan untuk menyiasat fenomena UFO tersebut.

Sebelum ini, FBI dan DHS meminta orang ramai berkongsi video, gambar atau sebarang maklumat berkaitan penampakan dron itu untuk tujuan penyelidikan lanjut.

Seorang pegawai FBI berkata, kurang 100 daripada 5,000 maklumat yang diterima dan sudah disaring akan disiasat berikutan data pemodelan menunjukkan kebanyakan insiden penampakan itu berlaku di laluan pesawat lapangan terbang utama hingga menyebabkan orang ramai menyangka ia adalah dron.

Sementara itu, Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Alejandro Mayorkas ketika tampil menerusi program ABC, This Week mengesahkan siasatan sedang dijalankan dan objek yang dilihat orang ramai adalah pesawat berawak.

Sehingga kini, fenomena UFO itu terus menakutkan rakyat AS dan ada yang bimbang jika mereka sedang menyaksikan teknologi pengawasan canggih, aktiviti perindustrian atau sesuatu yang lebih misteri tidak terjangkau dek akal. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!