Bahaya pelajar sudah pandai guna AI jawab soalan

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

MERAK Jalanan perasan kebelakangan ini, teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin rancak digunakan di kalangan pelajar sekolah dan universiti.

Pada awalnya, AI seperti ChatGPT dan lain-lain dilihat sebagai alat bantu belajar, tetapi kini ia mula disalahgunakan lebih-lebih lagi ketika musim peperiksaan.

Hakikatnya, Merak Jalanan rasakan penggunaan AI secara tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja mencemarkan integriti akademik, malah boleh menjejaskan kemampuan sebenar pelajar dalam memahami sesuatu subjek.

Bayangkan jika soalan tugasan atau peperiksaan dijawab bulat-bulat oleh AI, apa yang sebenarnya dipelajari pelajar?

Merak Jalanan tertarik dengan laporan beberapa institusi pendidikan yang sudah mengesan peningkatan kes pelajar menggunakan AI untuk siapkan tugasan.

Sesetengah pelajar mengambil jalan mudah dengan ‘copy and paste’ jawapan yang diberikan AI tanpa sebarang usaha untuk menyemak kebenarannya. Bukankah ini membimbangkan?

Lebih memburukkan keadaan, trend ini boleh menyebabkan kelonggaran dalam sistem penilaian pendidikan kita.

Jika berterusan, hasilnya nanti, kita bakal melahirkan graduan ‘atas kertas’ yang kelihatan cemerlang di sijil tetapi kosong ilmu di dada.

Artikel Berkaitan:

Bukannya untuk sekat teknologi, tetapi memastikan ia digunakan dengan cara yang betul – sebagai alat bantu belajar, bukan ‘jalan pintas’ untuk kejayaan segera.

Hakikatnya, ilmu yang diperoleh secara mudah akan mudah juga hilang. Merak Jalanan rasakan penting untuk kita ingatkan pelajar bahawa tiada kejayaan yang datang tanpa usaha.

Lagipun, AI boleh membantu, tetapi ia tidak mampu menggantikan kepintaran dan pemikiran kritis seorang manusia.

Jadi, pelajar hari ini perlu sedar bahawa teknologi adalah sekadar alat, bukan penyelesaian segala masalah.

Kejayaan yang diraih melalui usaha sendiri jauh lebih bermakna daripada kemenangan palsu yang hanya sementara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!