Idea luar kotak mampu kurangkan impak banjir
BANJIR yang melanda Pantai Timur dan beberapa negeri lain baru-baru ini kian pulih.
Namun tidak bermakna Monsun Timur Laut (MTL) telah tamat kerana Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan tempoh MTL yang bermula 5 November lalu akan berakhir pada Mac 2025.
Dijangka lima hingga tujuh episod hujan lebat lagi akan berlaku sepanjang tempoh itu.
Menerusi Laporan Khas Impak Banjir Di Malaysia memaklumkan negara mengalami kerugian RM755.4 juta akibat banjir pada tahun 2023.
Nilai kerugian tersebut meliputi kerosakan tempat kediaman RM168.3 juta; kenderaan (RM22.3 juta), premis perniagaan (RM53.2 juta); pembuatan (RM10.3 juta); industri pertanian (RM120.6 juta) serta aset awam dan infrastruktur (RM380.7 juta).
Kerajaan Kelantan pula 12 Disember lalu melaporkan negeri itu rugi lebih RM30 juta melibatkan semua infrastruktur termasuk jalan dan sekolah dengan jumlah itu masih lagi di peringkat awal.
Kerugian akibat banjir tidak boleh dielakkan, namun boleh dikurangkan dengan mangsa membuat persediaan awal menyelamatkan harta benda terlebih dahulu.
Sinar Harian pada Jumaat lepas melaporkan, Mek Mani Kadir, 64, dari Kampung Permaisuri, Setiu, Terengganu menggantung setiap katil pada alang rumah elak rosak terkena banjir.
Ternyata tindakan luar kotak warga emas itu berjaya menyelamatkan harta bendanya di saat dia dan keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Bahkan, Mek Mani turut bersedia lebih awal dengan menyewa jengkaut membuat parit di sekeliling rumah untuk mengelak kejadian banjir termenung di sekitar rumahnya.
Tindakan membina rumah rakit yang telah banyak dibuat menyelamatkan barangan dan harta benda, langkah kreatif patut dicontohi.
Sebagai contoh, tahun lalu seorang mekanik di Kampung Padang Licin, Rantau Panjang, Kelantan membina rumah rakit menggunakan 15 tong air berjaya menyelamatkan peralatan bengkel kereta miliknya bernilai RM50,000 daripada musnah.
Rakit yang dialas dengan papan itu juga dapat menampung lebih 10 tan peralatan termasuk mesin kimpal bernilai RM4,000 daripada ditenggelami banjir.
Sementara itu, seorang penduduk Mohd Sulong, 73, dari Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu berjaya selamatkan ayam ternakannya mati selepas membina reban rakit.
Beliau berkata, pengalaman pahit rugi ribuan ringgit selepas ternakan dihanyutkan air banjir tahun sebelumnya memaksanya menyiapkan reban rakit dengan kos kira-kira RM500 menggunakan kayu terpakai, papan serta tong jerikin sebagai pelampung.
Baru-baru ini di aplikasi TikTok pula, seorang lelaki membuat video menunjukkan dia memasukkan keretanya ke dalam plastik besar sebelum mengikat kemas di garaj rumahnya selepas tidak sempat mengalihkan ke lokasi lain. Alhamdulillah keretanya selamat tidak dimasuki air selepas berbuat demikian.
Tahu sajalah jika kereta tenggelam banjir, kos baiki boleh cecah puluhan ribu ringgit dan tidak akan sempurna seperti asal jika kereta itu yang memiliki banyak peralatan elektronik.
Penggunaan plastik ini juga boleh digunakan menyimpan motosikal dan peralatan elektrik seperti televisyen, mesin basuh dan peti sejuk.
Langkah berikutnya, terpulanglah kepada individu terbabit untuk meletakkan dan menyusunnya di mana, asalkan plastik tidak bocor.
Bencana banjir juga sering kali menyebabkan dokumen rosak akibat basah. Apa kata, selain berusaha menyimpannya di tempat tinggi, dokumen ini boleh di simpan di dalam beg vacum atau siapkan awal dengan mengambil langkah laminate dokumen agar tidak terkena air.
Pengalaman penulis sendiri, berhadapan banjir di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 2022 lalu, ialah semua komuniti perumahan apartmen sepakat menaikkan ruang penumpang lif ke paras tinggi bagi mengelak kerosakan lebih teruk kemudahan tersebut.
Hasilnya kerosakan lif dapat di minimumkan akibat bencana banjir.
Jadi, rakyat Malaysia yang berada di wilayah terdedah banjir, sentiasalah berwaspada dengan amaran banjir.
Lakukanlah apa yang difikirkan terbaik dengan membuat persediaan awal menyelamatkan harta benda dan juga nyawa anda.
* Mohd Hazrizal Mohd Hanapiah ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!