'Bila orang Melayu, Cina, India dan Sabahan bergabung'
SHAH ALAM - Tindakan pantas orang ramai menyelamatkan mangsa kemalangan akibat kenderaan terbalik sebelum memasuki longkang di kawasan Plaza Tol Damansara, Petaling Jaya mendapat perhatian netizen.
Menerusi perkongsian video TikTok milik @ddarnahadrieanna atau Darnah, meskipun berbeza latar belakang agama dan kaum, namun mereka semua bekerjasama bagi membantu mengeluarkan kesemua mangsa yang tersekat dalam kenderaan itu.
"Mereka yang membantu terdiri daripada bangsa Melayu, Cina, India dan Sabahan," katanya.
Mengulas bagaimana situasi tersebut berlaku, menurut Darnah, kejadian kemalangan itu disedari oleh suaminya di mana kenderaan mangsa dilihat tiba-tiba terbabas dan masuk ke dalam longkang besar sebaik sahaja melalui tol berkenaan.
Jelasnya, tanpa membuang masa, suaminya turun dan bertindak membantu mangsa terbabit sebelum didatangi oleh orang ramai.
“Nasib baik suami nampak kalau tidak, tak ada orang perasan sebab (kenderaan itu) terus masuk longkang dengan senyap,” katanya.
Menerusi hantaran video tersebut, mangsa berkenaan yang merupakan pasangan bangsa Cina terdiri daripada seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak lelaki.
Kata Darnah, usaha menyelamat itu berjaya dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat.
“Semua selamat. Cuma pak cik itu sahaja pening-pening sikit dan sakit kaki.
“Bila Melayu, Cina, India dan Sabahan bergabung. Saya bangga jadi rakyat Malaysia,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!