Masa sesuai dedahkan Young Tigress pengalaman Eropah
SKUAD hoki wanita negara perlu cepat belajar untuk mematangkan diri mereka menjelang saingan yang sangat kompetitif pada Piala Dunia Remaja di Chile tahun depan.
Bagi mencapai tahap tersebut skuad Young Tigress perlu didedahkan dengan perlawanan persahabatan yang berkualiti berdepan pasukan yang lebih senior berbanding seusia mereka.
Penganalisis sukan Mohd Sadek Mustafa berkata, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) perlu mengatur persiapan rapi buat mereka bagi membentuk skuad ampuh daripada pelbagai aspek meliputi fizikal dan mental.
"Young Tigress perlu lawan dengan skuad senior sama ada kelab dari dalam atau luar negara. Ia bagi mematangkan mereka daripada aspek taktikal, corak permainan, kelajuan dan strategi.
"Andai lawan dengan pasukan yang sama tahap, mereka akan terikut dengan rentak permainan lawan yang sama dengan mereka. Sebaliknya dengan pasukan senior akan dapat banyak belajar.
"Matang dalam permainan. Pemain muda main ikut kudrat tetapi pemain senior berpengalaman guna otak. Daripada situ mereka akan banyak belajar," katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Skuad Young Tigress melakar sensasi apabila meraih slot ke kejohanan berprestij tersebut selepas membenam cabaran Thailand 6-0 dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam dalam saingan Hoki Piala Remaja Asia (Wanita) di Muscat, Oman pada Ahad.
Malah kejayaan itu juga sejarah baharu skuad hoki remaja wanita apabila layak secara merit buat kali pertama dalam tempoh 35 tahun sejak kejohanan itu diperkenalkan pada tahun 1989.
Mohd Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, pendedahan dalam saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025 pada bulan depan sebagai langkah awal buat mereka menimba pengalaman.
Malah beliau menyarankan agar skuad itu juga 'berguru' di luar negara melalui penyertaan sebagai satu pasukan menerusi perlawanan persahabatan atau secara pinjaman dengan kelab di Eropah.
"Saya pasti KHM mempunyai hubungan yang baik dengan kelab-kelab di Eropah. Atur aksi persahabatan dengan kelab di Argentina misalnya. Andai berdepan kekangan kewangan, hantar beberapa pemain beraksi dengan pasukan di Belanda.
"Para pemain juga perlu didedahkan dengan suasana di Chile daripada aspek masa dan cuaca serta corak permainan Eropah. Jadi usaha juga perlu dibuat agar pemain membiasakan diri dengan keadaan di Chile atau negara yang sama cuaca seperti Sepanyol," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!