Hanya mampu lihat sisa runtuhan rumah

Che Kar yang hanya mampu melihat kediaman dimiliki musnah terkena banjir. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
Che Kar yang hanya mampu melihat kediaman dimiliki musnah terkena banjir. Foto Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

BENCANA banjir berlaku saban tahun meninggalkan kesan mendalam buat mangsa-mangsa terjejas.

Penduduk kawasan Tersang, Gual To’Deh dan Lachang di Rantau Panjang terutamanya yang sudah sinonim dengan bencana itu sudah ‘masak’ dengan situasi dan bersedia dari segi mental serta fizikal lebih awal, tetapi berlainan bagi mereka yang tidak menjangkakan situasi buruk bakal dialami seperti kejadian rumah runtuh.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, ADILA SHARINNI WAHID yang mendekati mangsa banjir mengalami kerugian teruk dan saat-saat sukar dalam kehidupan selepas bencana.

KOTA BHARU - Pembaiki barangan elektronik, Ghazali Ismail, 50, tidak pernah membayangkan situasi kehilangan sebuah rumah bernilai RM80,000 yang dibeli 20 tahun lalu dengan hasil titik peluhnya bekerja dari usia muda.

Ghazali di hadapan rumahnya yang runtuh di Kampung Baru Nelayan, Tumpat.
Ghazali di hadapan rumahnya yang runtuh di Kampung Baru Nelayan, Tumpat.

Rumah yang menjadi tempat Ghazali dan isterinya, Roslina Abdul Rahman, 46, membesarkan dan berbahagi kasih sayang bersama empat anak mereka akhirnya hancur dibadai arus banjir.

Tatkala mangsa-mangsa lain sibuk membersihkan rumah selepas banjir, Ghazali pula hanya mampu merenung kosong sisa runtuhan rumah empat bilik miliknya itu dengan bahagian dinding rumah terlentang, masih terendam dalam bah.

Artikel Berkaitan:

“Orang lain cuci rumah selepas gelombang pertama, tapi saya nak masuk ke dalam rumah ini pun takut, bimbang sisa-sisa yang tinggal akan runtuh lagi.

“Bahagian dinding dalam air itu ruang tamu tambahan yang baru sahaja siap untuk anak-anak serta isteri tinggal lebih selesa tetapi kini sudah hancur,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Kampung Baru Nelayan, Tumpat pada Selasa.

Banjir yang menyebabkan kemusnahan kediaman dan harta benda penduduk.
Banjir yang menyebabkan kemusnahan kediaman dan harta benda penduduk.

Lebih menyayat hati semasa kejadian arus deras meruntuhkan rumah separuh batu dan separuh kayu pada 30 November lalu itu, dia bersama ahli keluarganya berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Tumpat.

“Dapat tahu rumah saya runtuh pun daripada penduduk yang hantar mesej. Selepas seminggu di PPS, saya balik tengok rumah tapi tak ada apa-apa yang boleh diselamatkan lagi.

“Sekarang kami terpaksa menumpang di rumah mentua saya di Kok Dollah,” ujarnya sebak.

Selain itu, dia juga terpaksa memberitahu pelanggan bahawa barangan seperti televisyen dan peti sejuk yang ditinggalkan mereka untuk dibaiki bertambah rosak akibat tenggelam dan terendam banjir kira-kira seminggu.

“Ada pelanggan faham keadaan saya tetapi ada belum beri apa-apa respons.

“Mungkin ada barangan pelanggan saya kena ganti, tapi buat masa sekarang, saya sendiri tak tahu nak mulakan semula kerja-kerja dengan keadaan tempat tinggal ranap sebegini,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Che Kar Nik Mat, 60, pula seumpama hilang arah ketika menyaksikan sendiri rumah berusia 30 tahun yang menjadi tempat tinggal mereka di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat runtuh akibat arus deras banjir.

Che Kar
Che Kar

Siang hari kejadian, Che Kar sibuk membantu mangsa banjir termasuk saudara-maranya di kampung berdekatan untuk berpindah daripada kediaman masing-masing yang ditenggelami air.

“Apabila pulang saya letak kereta di tepi rumah dan pertama kali lihat rekahan pada tar dan nampak air keluar dari jalan sebelum arus banjir makin kuat pada waktu malam dan meruntuhkan rumah saya.

“Saya hilang tempat tinggal manakala kereta pula hanyut dan terbalik dengan keempat-empat tayar ke atas,” katanya.

Walaupun sudah tidak dapat berbuat apa-apa, Che Kar tetap datang melihat sisa-sisa runtuhan rumah dengan pandangan sedih dan sayu.

“Buat masa ini saya dan isteri menumpang di rumah anak di Geting dan tidak tahu sampai bila kerana masih buntu sama ada dapat bina rumah baharu di tempat sama atau pun tinggalkan terus tempat ini kerana dah tak selamat,” katanya.

Kemusnahan yang berlaku akibat bah dan arus deras di Kampung Jubakar, Tumpat.
Kemusnahan yang berlaku akibat bah dan arus deras di Kampung Jubakar, Tumpat.

Selain rumah musnah, mangsa banjir juga turut terjejas punca pendapatan apabila berlaku kerosakan pada peralatan yang tenggelam atau dihanyutkan banjir seperti dialami mekanik, Muhammad Hanif Azhar, 30, di Demit, Kota Bharu.

Isterinya, Siti Nur Fatihah Mohd Hamdan, 31, berkata, banjir gelombang pertama lalu berlaku tengah malam dan menghanyutkan perkakas membaiki motosikal ketika mereka sedang tidur menyebabkan suaminya itu kerugian RM5,000.

Siti Nur Fatihah
Siti Nur Fatihah

Sebelum ini, pasangan empat anak berusia sembilan bulan hingga tujuh itu pernah kerugian RM2,000 apabila mesin kimpalan di bengkel yang terletak bersebelahan rumah mereka tenggelam bah pada 2022.

“Sejak 2020, hampir setiap kali hujan bengkel kami banjir, kami kerap rugi kerana tanah di kawasan ini rendah.

“Kereta Perodua MyVi juga pernah tersadai tiga tahun kerana air memasuki enjin dan gear, itu pun mentua bantu baiki dengan kos RM2,000 kerana kesian pada anak-anak kami yang terpaksa menaiki motosikal,” katanya.

Penduduk mohon baiki sistem saliran elak banjir berulang

Sistem saliran yang sistematik seperti longkang dan parit perlu dibina secara terancang di kawasan rumah penduduk bagi menangani bencana banjir.

Wan Radhiah Wan Ahmad, 46, berkata, bencana banjir yang berlaku saban tahun disebabkan ketiadaan sistem pengairan yang baik di kawasan rumah penduduk.

Wan Radhiah
Wan Radhiah

“Rumah saya sendiri hanya ada longkang kecil dibina dan apabila hujan kawasan ini terus banjir lebih 0.5 meter.

“Disebabkan tiada saliran yang baik, air tidak boleh mengalir sehingga menenggelamkan harta benda penduduk,” katanya.

Selain itu, projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok perlu dipercepatkan bagi mengatasi masalah banjir.

“Projek sebegini perlu segera disiapkan bagi membantu mengurangi kerugian rakyat yang terkesan.

“Bukan itu sahaja, bantuan-bantuan banjir pula jangan hanya tertumpu ke kawasan yang terjejas teruk sahaja, tetapi perlu lebih menyeluruh kerana masih ramai lagi yang turut terjejas akibat bencana ini,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!