Jenayah komersial: Lebih RM7 juta nilai kerugian direkodkan sehari
KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman merekodkan nilai purata kerugian jenayah komersial lebih RM7.9 juta dalam tempoh satu hari.
Pengarahnya, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah tersebut diperoleh berdasarkan rekod minggu ke-50 tahun ini hingga Ahad lalu yang mencatatkan 30,724 kes dengan jumlah keseluruhan kerugian RM2,774,320,430.
“Jumlah kes itu turut bersamaan dengan purata 88 kes sehari dan secara perbandingan, jumlah kes yang direkodkan setakat ini menurun tiga peratus berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan 31,588 kes.
“Nilai kerugian bagaimanapun menunjukkan trend berbeza dengan peningkatan sebanyak 44 peratus berbanding tahun lalu yang hanya mencatatkan nilai kerugian sebanyak RM 1,924,424,513,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ramli berkata, sebanyak 45 peratus atau 13,721 kertas siasatan telah dituduh setakat ini.
"Peratusan pertuduhan tersebut adalah lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu yang mencatatkan sejumlah 43 peratus atau 13,450 kertas siasatan," ujarnya.
Beliau berkata, penurunan kes jenayah komersial merupakan petanda positif kesedaran masyarakat.
"Kita akan meningkatkan lagi usaha bagi memastikan pembanterasan serta pencegahan jenayah komersial terus dilaksanakan supaya impak yang lebih optimum dapat dicapai," katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, kes melibatkan pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along mencatatkan peningkatan dalam tempoh empat tahun iaitu 977 kes (2021), 989 kes (2022), 1,162 kes (2023) dan 981 kes (setakat November tahun ini).
"Hasil pelbagai operasi dan serbuan, kita berjaya menahan 4,737 individu yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan along dalam tempoh empat tahun iaitu 1,068 orang (2021), 1,272 orang (2022), 1,287 orang (2023) dan 1,110 orang (setakat November lalu)," katanya.
Beliau berkata, kajian menunjukkan majoriti peminjam mengetahui risiko yang bakal diterima namun memilih untuk terus meminjam atas desakan yang dialami selain yakin dengan kemampuan diri mereka untuk mematuhi semua syarat ditetapkan.
"Mangsa akhirnya terperangkap dengan ancaman along serta faedah pinjaman yang tidak berkesudahan sebelum membuat laporan polis.
“Persoalannya, sehingga bilakah isu ini akan berkesudahan? Jika pihak polis melancarkan operasi membanteras along setiap hari, kegiatan ini tidak akan dapat dibanteras secara keseluruhannya kerana wujudnya permintaan dalam kalangan masyarakat," katanya.
Menurutnya, polis sudah mengingatkan supaya jangan meminjam dengan along.
"Jangan jadi peminjam along, apa jua masalah, desakan hidup dan sebagainya cari jalan yang selamat seperti meminjam dengan institusi kewangan sah atau pemberi pinjaman wang yang berlesen. Jangan sesekali terjun ke perangkap along,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!