Pesara kerajaan rugi RM2.9 juta terpedaya pelaburan dalam talian
KUALA LUMPUR - Seorang pesara kerajaan mendakwa mengalami kerugian RM2.9 juta selepas terperdaya dengan skim pelaburan dalam talian pada Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, wanita berusia 68 tahun itu mendakwa terlihat iklan skim pelaburan berkenaan melalui laman Instagram.
"Wanita warga emas itu telah menghubungi nombor telefon yang tertera, kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan di aplikasi WhatsApp.
"Melalui kumpulan tersebut, mangsa telah diajar berkenaan skim pelaburan dan diarahkan membuat pembayaran ke beberapa akaun bank," katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ramli berkata, mangsa telah membuat 34 kali pindahan wang ke lapan akaun bank yang berbeza dengan nilai keseluruhan RM2.9 juta.
"Sindiket berkenaan menjanjikan keuntungan dianggarkan bernilai RM6 juta selepas tiga hari membuat pelaburan tetapi sehingga kini mangsa tidak menerima sebarang keuntungan yang dijanjikan.
"Mangsa telah membuat laporan polis pada 12 Disember lalu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Mengulas lanjut, Ramli berkata, sebanyak 5,791 kes penipuan pelaburan telah disiasat JSJK melibatkan nilai kerugian melebihi RM745 juta sejak Januari hingga November lalu.
"Kita telah mengenalpasti terdapat enam medium yang sering digunakan sindiket dalam penipuan pelaburan.
"Aplikasi Telegram direkodkan menjadi pilihan utama sindiket dengan 1,832 kes atau bersamaan 31.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala Facebook dan WhatsApp masing-masing merekodkan 1,436 dan 1,378 kes," katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap kandungan tidak sahih di aplikasi-aplikasi berkenaan kerana ia mengundang pelbagai ancaman penipuan.
"Sebarang perkara berkaitan pelaburan sewajarnya dirujuk kepada Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!