Golongan 50 tahun jadi sasaran sindiket tipu dalam talian

PDRM dedah mangsa jenayah sindiket penipuan berusia 50 tahun ke atas alami nilai kerugian tertinggi berbanding kelompok umur yang lain. Foto haisan. Gambar kecil: Ramli
PDRM dedah mangsa jenayah sindiket penipuan berusia 50 tahun ke atas alami nilai kerugian tertinggi berbanding kelompok umur yang lain. Foto haisan. Gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan mangsa jenayah sindiket penipuan berusia 50 tahun ke atas mengalami nilai kerugian tertinggi berbanding kelompok umur yang lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 59,974 individu dilaporkan menjadi mangsa kepada jenayah penipuan dalam talian sejak 2022 hingga tahun lalu.

"Daripada jumlah tersebut, 11,157 mangsa atau 18.6 peratus adalah dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas.

"Trend yang hampir sama juga dicatatkan pada tahun ini iaitu daripada 33,549 kes penipuan dalam talian direkodkan sehingga Ahad lalu, seramai 8,022 mangsa atau 24 peratus adalah mangsa berusia 50 tahun ke atas," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ramli berkata, walaupun bilangan mangsa dalam kalangan usia 50 tahun itu adalah rendah berbanding kelompok umur yang lain, namun nilai kerugian yang dicatatkan adalah tinggi iaitu bagi tahun 2022 dan 2023, jumlah kerugian keseluruhan yang dicatatkan RM2,069,961,960.

“Daripada jumlah itu, kerugian melibatkan mangsa 50 tahun ke atas adalah RM909,516,442 bersamaan 44 peratus berbanding jumlah keseluruhan kerugian,” katanya.

Beliau berkata, bagi tahun ini setakat 15 Disember lalu, kerugian yang dicatatkan melibatkan mangsa 50 tahun ke atas telah mencecah RM782,813,952 atau bersamaan 54 peratus daripada jumlah keseluruhan kerugian yang dicatatkan iaitu RM1,453,966,347.

“Golongan lebih berusia menjadi sasaran kepada sindiket penipuan, oleh itu mereka diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik penipuan dalam talian.

Artikel Berkaitan:

“Kita menyeru agar informasi jenayah komersial khususnya modus operandi penipuan dalam talian dapat dikongsikan kepada semua golongan khususnya ibu bapa, ahli keluarga, kenalan, jiran tetangga serta jadikan topik ‘scammer’ ini sebagai satu perbincangan bagi mengelak daripada menjadi mangsa,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Ramli berkata, pihaknya merekodkan 6,909 kes penipuan e-dagang melibatkan nilai kerugian RM62,196,256 dalam tempoh Januari hingga Ahad lalu.

"Penipuan yang berpunca daripada iklan melalui laman Facebook mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 3,457 kes diikuti Whatsapp dengan 1,168 kes, Tiktok (800 kes) dan Telegram (771 kes).

“Dalam keghairahan sebahagian kita menyambut musim perayaan dan cuti sekolah pada minggu hadapan, saya percaya ramai yang telah mula membeli kelengkapan perayaan seperti pakaian baharu, perabot dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, pembelian secara dalam talian akan menjadi salah satu pilihan.

"Justeru, sebagai langkah pencegahan, pembeli dalam talian adalah diingatkan untuk mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!