Suspek ragut rantai emas diberkas orang awam
SUBANG JAYA - Cubaan seorang lelaki melarikan rantai emas yang diragut daripada seorang gadis berusia 19 tahun tidak berjaya apabila suspek diberkas orang awam pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, dalam kejadian jam 1 petang itu, suspek mendatangi mangsa dan kononnya mahu bertanyakan sesuatu di tepi jalan kawasan perumahan flat Taman Puchong Intan, di sini.
Beliau berkata, suspek warga tempatan yang menaiki sebuah motosikal telah bertanyakan sesuatu dalam loghat bahasa Melayu, tetapi mangsa merupakan seorang warga asing tidak memahaminya.
"Suspek kemudiannya telah bertindak menarik rantai leher emas yang dipakai oleh mangsa dan melarikan diri.
"Namun kejadian itu disedari oleh seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang kebetulan berada di kawasan tersebut.
"Suspek telah berjaya ditangkap dan kunci motosikal diambil, seterusnya lelaki tersebut menghubungi pihak polis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mohd Fairus berkata, pihaknya telah merampas barang kes iaitu sebuah motosikal jenis Honda Dash yang digunakan oleh suspek bersama kunci dan seutas rantai emas.
Menurutnya, harga seutas rantai emas dipakai oleh mangsa yang tidak bekerja itu dianggarkan bernilai RM1,500.
Tambahnya, hasil siasatan mendapati suspek lelaki berusia 25 tahun itu tidak bekerja.
Katanya, suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga Jumaat dan ujian saringan awal air kencing masih dalam tindakan pihak polis.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun ragut tanpa senjata.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat.
Tambahnya, pihak polis juga masih menyiasat bagi mengesan penglibatan suspek dalam kes jenayah lain.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
"Mereka juga boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Fadizah Ajamain di talian 019-8582166," ujarnya.
Tegas beliau, segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!