JSJK Bukit Aman kesan taktik tipu tawaran bantuan guaman di media sosial
KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesan taktik sindiket menggunakan platform media sosial yang menawarkan perkhidmatan guaman bagi membantu mangsa penipuan dalam talian untuk mendapatkan semula wang mereka.
Pengarahnya Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, iklan tawaran perkhidmatan tersebut dikesan melalui aplikasi Facebook, baru-baru ini.
“Iklan tersebut memaparkan beberapa ayat iaitu ‘Are you a victim of online fraud’, ‘You don’t know how to recover funds after being scammed?’ ‘ The prosecutor’s task force helps you recover losses caused by online fraud. Contact us immediately’.
“Ia adalah perangkap penipuan kerana pendakwa raya tidak berurusan secara langsung dengan mangsa penipuan dan perkhidmatan mereka tidak diiklankan secara terbuka melalui media sosial,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Ramli berkata, proses pemulangan wang hanya dapat dilakukan pegawai penyiasat dengan pematuhan kepada peruntukan undang-undang yang tertentu serta tiada jalan pintas untuk melakukan perkara tersebut sama ada melalui ejen, badan bukan kerajaan atau sebagainya.
"Melalui peruntukan Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah, pegawai polis dengan pangkat tidak kurang daripada sarjan telah diberi kuasa untuk menyekat wang yang telah dipindahkan dengan cara perdayaan ke dalam akaun bank suspek.
"Wang berkenaan boleh diserah semula kepada mangsa melalui peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Akta 593," katanya.
Beliau berkata, antara peruntukan yang diguna pakai adalah Seksyen 435 KTJ (bagi tujuan sitaan) dan Seksyen 413 KTJ (bagi permohonan pemulangan wang).
“Kesemua prosedur ini hanya boleh dilaksanakan oleh pegawai penyiasat sahaja, bukan mana-mana individu persendirian.
"Jangan sesekali percaya kepada mana-mana tawaran untuk mendapatkan semula wang mangsa yang telah ditipu. Sebarang perkhidmatan sedemikian adalah palsu dan menipu,” katanya.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menafikan pihaknya ada menawarkan perkhidmatan bagi membantu mangsa penipuan dalam talian untuk mendapatkan semula wang mereka dan menegaskan maklumat yang tular di media sosial itu adalah tidak benar.
Pada awal Disember, tular di media sosial mengenai kewujudan akaun Facebook menggunakan nama Putrajaya AGC yang menawarkan khidmat mendapatkan semula wang atau kerugian milik mangsa penipuan dalam talian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!