KFC bantu mangsa banjir, agih makanan bernilai RM100,000
SHAH ALAM - KFC Malaysia melalui Add Hope Malaysia mengagihkan bantuan makanan bernilai RM100,000 kepada mangsa banjir di beberapa negeri, baru-baru ini.
Inisiatif bantuan makanan segera itu diagihkan kepada mangsa yang terpaksa berpindah akibat bencana alam yang memusnahkan kediaman dan tempat tinggal.
Usaha itu bertujuan untuk memastikan bahawa makanan asas dapat disampaikan kepada golongan yang paling terdedah dalam tempoh kritikal.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Bhd, Nehchal Khanna, berkata, misi pihaknya adalah untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang berada dalam krisis, tanpa mengira keadaan.
“Melalui Add Hope, sumbangan kami melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan ditumpukan kepada penghantaran makanan KFC ke pusat pemindahan sementara di kawasan yang paling terjejas khususnya di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Johor.
“Dengan menggerakkan sumber dan menyelaraskan usaha bersama NADMA dan Bulan Sabit Merah Malaysia, individu dan keluarga yang terjejas akan menerima bantuan makanan diperlukan dengan segera,”katanya, di sini, hari ini.
Menurutnya, lebih daripada 6,000 hidangan KFC dihantar kepada mangsa di pusat bantuan banjir dan kediaman mereka.
“NADMA memainkan peranan penting dalam menyelaraskan usaha tindak balas bencana di seluruh Malaysia, memastikan bahawa sumber diperuntukkan dengan berkesan dan komuniti yang terjejas menerima bantuan tepat pada masanya.
“Bulan Sabit Merah Malaysia menyokong usaha ini dengan menyediakan bantuan di lapangan, termasuk perkhidmatan perubatan, tempat perlindungan kecemasan dan bekalan penting kepada mereka yang memerlukan,”katanya.
Replika cek telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Komunikasi QSR Brand (M) Holdings Bhd, Anis Yusof kepada Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan (PASCA Bencana) NADMA, Hussain Moh, bersama Timbalan Setiausaha Agung Bulan Sabit Merah Malaysia, Datuk Danial Iskandar Abdul Rahman.
Sementara itu, Anis berkata, pihaknya percaya bahawa dalam situasi krisis, adalah menjadi tanggungjawab untuk berdiri bersama mereka yang menderita.
“Sumbangan kami sebanyak RM100,000 dalam bentuk bantuan makanan adalah langkah ke arah mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mangsa banjir.
“Add Hope Malaysia tetap komited dalam dedikasinya untuk menyokong komuniti yang memerlukan. Kami bertekad untuk meneruskan usaha membantu mereka yang terjejas oleh bencana alam di seluruh Malaysia, menguatkan komitmen kami untuk membantu membina semula kehidupan dan memberikan harapan di masa kesusahan,”katanya.
Menurutnya, pihaknya menantikan kolaborasi masa depan dengan NADMA dan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk meningkatkan impak kolektif dan memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukannya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!