Wanita melintas jalan maut dirempuh kereta
KUANTAN - Seorang wanita warga Bangladesh maut selepas dirempuh sebuah kereta Perodua Myvi ketika melintas di Jalan Kuantan Bypass berhampiran stesen minyak Shell, sekitar jam 11.50 malam, pada Selasa.
Mangsa, Neherima Sultana Nihamoni, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta berusia 22 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.
“Siasatan awal mendapati pemandu kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Gelanggang Futsal menghala ke arah Indera Mahkota.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa secara tiba-tiba melintas jalan dari arah kiri ke tengah jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya pada Rabu.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan kecuaian mangsa yang gagal memastikan keadaan selamat sebelum melintas jalan.
Wan Mohd Zahari turut meminta saksi kejadian tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!