Thaksin ada pengalaman luas, dapat selesai konflik di Myanmar - Naib Pengerusi PKR Johor

JIMMY PUAH WEE TSE
JIMMY PUAH WEE TSE
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengalaman luas dimiliki bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dalam hal ehwal pentadbiran dapat digunakan dalam meja rundingan bagi menyelesaikan konflik di Myanmar.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, pemilihan Thaksin sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN pada 2025 sewajarnya dilihat dari sudut positif.

"Thaksin mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran sebuah negara termasuk hubungan diplomatik khususnya hubungan Malaysia-Thailand.

“Kepakaran ini boleh dimanfaatkan dalam meja rundingan bagi menyelesaikan konflik di Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat peribadi bagi Kepengerusian ASEAN pada 2025.

Sebelum itu, Anwar melantik Thaksin sebagai anggota kumpulan penasihat tidak formal kepada Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.

Perdana Menteri berkata, Malaysia memerlukan negarawan sepertinya untuk berkongsi kepakaran serta idea kepada Pengerusi ASEAN berkenaan isu serantau.

Bagaimanapun Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindakan Anwar melantik Thaksin menjawat jawatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Fadhli berkata, biasanya pemimpin negara akan melantik pakar diplomatik, bekas menteri luar atau tokoh akademik dalam bidang hubungan antarabangsa sebagai penasihat.

Mengulas lanjut, Wee Tse yang juga Ahli Parlimen Tebrau menyelar tindakan Pas yang mempersoalkan dan membuat tuduhan jahat terhadap Anwar serta mengeluarkan kenyataan-kenyatan negatif yang boleh mengelirukan.

“Kononnya lantikan Thaksin adalah kerja biasa Perdana Menteri untuk membodek pemimpin luar. Lebih teruk lagi apabila Pas persoalkan mengapa tidak lantik pakar tempatan.

“Ini sajakah standard pemikiran pemimpin Pas? Perkataan ‘tidak rasmi’ dan ‘hanya untuk ASEAN’ pun tak faham.

"Apabila tidak rasmi, sudah tentu tidak melibatkan implikasi kewangan. Apabila melibatkan ASEAN saja, maksudnya Thaksin tidak akan masuk campur urusan dalaman Malaysia,” ujarnya.

Beliau menjelaskan Pas sepatutnya melihat perkara tersebut dari sudut positif kerana Perdana Menteri tidak melantik Thaksin seorang sahaja sebagai penasihat peribadi ‘tidak rasmi’ tetapi lebih ramai lagi tokoh, negarawan dan pemimpin ASEAN lain dijangka dilantik untuk tujuan membantu Pengerusi ASEAN.

Ujarnya, Pas tidak nampak yang Perdana Menteri sedang ambil satu langkah kedepan memanfaatkan pengalaman tokoh-tokoh dari negara Asia Tenggara untuk menguatkan lagi peranan ASEAN di mata dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!