Tok Mat akan diberi notis, kompaun merokok di kawasan larangan - Dr Dzulkefly
SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan diberi notis kesalahan dan kompaun atas kesalahan merokok di kawasan larangan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban akan berjumpa Mohamad hari ini untuk berbuat demikian.
"Pejabat Menteri Luar telah pun dimaklumkan mengenai perkara itu.
"Jujurnya, Mohamad sendiri minta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar," katanya menerusi aplikasi X pada Rabu.
Sebelum itu, tular gambar yang memaparkan individu dipercayai Mohamad atau Tok Mat sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki.
Pemilik akaun itu juga memaparkan poster mengenai 28 tempat larangan merokok oleh KKM.
Jelas Dzulkefly, pihaknya berpegang kepada prinsip bahawa tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang.
"Setelah Akta 852 (Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awan, 2024) berkuatkuasa pada 1 October yg lalu, saya berpegang kepada prinsip,"ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!