Harga sayur dijangka turun Mac ini - Mohamad Sabu
TUMPAT - Kerajaan menjangka harga sayur kembali turun dan stabil pada Mac ini apabila tamatnya Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, harga sayur yang meningkat ketika ini disebabkan oleh keadaan cuaca yang tidak menentu.
"Kita jangkakan Mac ini ia akan kembali seperti biasa.
"Kita juga akan usahakan untuk memastikan kenaikan yang berlaku tidak lama. Sebagai contoh timun ketika ini harganya mencecah RM7 hingga RM8 sekilogram, namun ada masanya ia akan tiada nilai sehingga tidak boleh dijual," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau mengadakan lawatan kerja di Dewan Terbuka Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bunga Raya di sini.
Menurut beliau, bagaimanapun Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memainkan peranan dalam memastikan isu harga dan pasaran dapat diselesaikan.
Media tempatan melaporkan pada Selasa, cuaca tidak menentu menyebabkan bekalan sayur di negeri ini berkurangan sekali gus menyebabkan harga meningkat hingga tiga kali ganda.
Kebanyakan peniaga mengeluh menerima bekalan sayur dengan harga tinggi sejak November lalu menyebabkan mereka terpaksa mengambil dari luar terutama Thailand bagi memenuhi permintaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!