Rakyat Sabah banjiri Terminal 2 KKIA sambut Tun Musa
KOTA KINABALU - Ribuan rakyat Sabah membanjiri pekarangan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) untuk menyambut ketibaan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11.
Ketibaan Tun Musa dijangka pada jam 11 pagi dari Kuala Lumpur selepas beliau dikurniakan Surat Cara Pelantikan pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, pada Selasa.
Difahamkan, orang ramai sudah berada di pekarangan lapangan terbang seawal jam 8 pagi untuk menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah itu.
Menurut Salmiah Sharip Mabul, 46, dia yang tiba dari Lahad Datu menyatakan kehadirannya itu sebagai sokongan kepada TYT Sabah yang baharu, Tun Musa.
"Kami datang awal di sini dan bergerak dari Lahad Datu semalam sebaik saja tahu Tun dilantik sebagai TYT yang baharu.
"Sebagai rakyat Sabah, saya bertuah kerana dulu beliau jadi Ketua Menteri banyak pembangunan telah dibawa ke Sabah, jadi apabila jadi TYT mudah-mudahan bertambah maju," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Sabah, Mohd Subri Karim, 36, mengharapkan perubahan positif kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah.
"Semoga mendapat sokongan daripada barisan kabinet Sabah supaya tiada masalah mendatang dari segi politik dan sebagainya," katanya.
Mohd Subri yang berasal dari Sandakan meredah perjalanan selama enam jam untuk ke Kota Kinabalu semata-mata menyatakan sokongan terhadap Tun Musa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!