Sektor pertanian di Kelantan rugi RM33.2 juta akibat banjir
TUMPAT - Sektor pertanian di Kelantan mencatatkan kerugian awal berjumlah RM33.2 juta akibat banjir yang melanda negeri ini sejak bulan lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia melibatkan 4,888 golongan sasar yang terlibat dalam pelbagai sektor pertanian.
"Kawasan pertanian yang terjejas ialah seluas 10,229.12 hektar di mana 9,958.29 hektar adalah sawah padi.
"Manakala jumlah pesawah yang terkesan seramai 4,207 orang dan selebihnya adalah kawasan perikanan dan tanaman selain padi," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Sebelum itu beliau mengadakan lawatan kerja di Dewan Terbuka Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bunga Raya di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, seramai 10,628 pesawah di Kelantan terjejas bencana menerima Bantuan Khas Sumbangan Tunai (BKST) bagi fasa 2 untuk tahun 2024 berjumlah RM6.3 juta.
Ujarnya, BKST merupakan satu bentuk bantuan yang diberikan secara tunai sebanyak RM600 khusus kepada pesawah untuk tempoh tiga bulan atau semusim penanaman bagi pesawah bertujuan meringankan kos sara hidup.
Mohamad memberitahu, KPKM bersama jabatan dan agensi di bawahnya sentiasa bersedia membantu semua golongan sasar KPKM yang terkesan dengan bencana banjir yang melanda negara selaras dengan nilai teras Ihsan di bawah Malaysia Madani.
Tambah beliau, turut diberikan bantuan ialah 793 nelayan yang terjejas banjir di Kelantan bernilai RM369,500.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!