[VIDEO] Pengarah syarikat didakwa terbabit aktiviti pengubahan wang haram

A
A
A

SEREMBAN - Seorang pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menggunakan bangunan miliknya untuk aktiviti pengubahan wang haram.

Tertuduh, Cheong Yin Ying, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, Yin Ying telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi dengan menggunakan bangunan dan benda dalam bangunan miliknya iaitu di No 7 Jalan Perindustrian Mantin 1 dan No 7 di Jalan Perindustrian Mantin 2 di Kawasan Perindustrian Ringan Mantin, Seremban sebagai peralatan kesalahan untuk melakukan suatu aktiviti haram.

Kesalahan itu dilakukan pada 15 Disember 2023 di sebuah syarikat No 7 Jalan Perindustrian Mantin 2, Kawasan Perindustrian Ringan Mantin, Seremban.

Berikutan itu tertuduh telah melakukan suatu kesalahan pengubahan wang haram di bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613] yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Yin Ying diiring pegawai KPDN ketika hadir ke Mahkamah Sesyen di Seremban pada Rabu.
Yin Ying diiring pegawai KPDN ketika hadir ke Mahkamah Sesyen di Seremban pada Rabu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Artikel Berkaitan:

Peguam, Amirul Fairuzzeen Jamaluddin memohon jaminan dikenakan terhadap anak guamnya bagi kes sebelum ini diguna pakai dalam pertuduhan hari ini.

Mahkamah kemudian menetapkan RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 6 Januari depan.

Pada 5 Disember lalu media melaporkan, Yin Ying dan suaminya James Ooi Joe Behn, 41, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas 14 pertuduhan menerima wang daripada aktiviti haram sebanyak RM3.7 juta antara Januari 2021 hingga Mei 2023.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan James membayar jaminan RM40,000 manakala Yin Ying RM60,000 dengan seorang penjamin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!