Dua kucing ditemukan mati dibunuh dengan kejam
KUALA LUMPUR - Kematian dua ekor kucing didakwa diperlakukan dengan kejam di kawasan Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya pada Selasa didapati akibat serangan anjing liar.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan berkaitan kejadian sebelum itu dibuat di Balai Polis Pantai, Kuala Lumpur kira-kira jam 6.20 petang.
"Saya mengesahkan pihak polis ada menerima laporan berhubung kejadian dan susulan itu satu siasatan lanjut telah dijalankan dan kita dapati kematian kucing berkenaan akibat diserang anjing-anjing liar di kawasan itu.
"Laporan polis ini juga telah dirujuk kepada Jabatan Veterinar serta pengurusan Universiti Malaya bagi tindakan susulan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, tular hantaran di media sosial berkaitan dua kucing didakwa diperlakukan dengan kejam apabila dibelah perut selain keempat kaki telah dipotong di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya.
Susulan itu, hantaran terbabit turut memohon orang ramai yang mempunyai maklumat melaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan segera dapat diambil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!