Kenaikan cukai taksiran: MPSepang jangka kutip RM191.9 juta
SEPANG - Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjangkakan hasil kutipan cukai taksiran meningkat daripada RM150.9 juta kepada RM191.9 juta pada tahun depan.
Timbalan Yang Dipertuanya, Muhamad Shah Osmin berkata, kenaikan itu susulan nilaian baharu cukai taksiran yang diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkuat kuasa 1 Januari tahun depan.
Menurut beliau, MMKN telah bersetuju sebarang kenaikan cukai taksiran hasil daripada senarai nilaian baharu hendaklah tidak melebihi 25 peratus daripada cukai sedia ada termasuk bangunan telah diubahsuai.
"Jumlah pegangan keseluruhan di dalam senarai nilaian baharu sebanyak 171,396 unit dengan 38,023 unit nilaian kali pertama dan sebanyak 133,373 unit bagi pegangan sedia ada," katanya semasa Perutusan Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang di Bilik Mesyuarat Semarak di sini pada Rabu.
Muhamad Shah memberitahu, MPSepang akan terus berusaha mempertingkat keupayaan perkhidmatan lebih baik selaras dengan peningkatan hasil cukai taksiran.
"MPSepang akan menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur seperti kemudahan awam, jalan raya, lampu jalan, perparitan dan taman awam yang diperlukan bagi memastikan kawasan kediaman sentiasa selesa, bersih dan selamat didiami.
"Komitmen ini adalah langkah signifikan dalam memperkukuh perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat," ujar beliau.
Menurut beliau, beberapa projek pembangunan turut dirancang pada tahun depan antaranya cadangan pembangunan Kompleks Komuniti Kampung Dato' Abu Bakar Baginda di Sungai Merab membabitkan peruntukan sebanyak RM17.3 juta.
Kata beliau, projek lain termasuk peruntukan sebanyak RM12.2 juta bagi kerja-kerja membina dan menyiapkan satu unit terminal bas tiga tingkat dan kerja-kerja berkaitan di tapak terminal sedia ada di Persiaran Multimedia, Cyberjaya.
"MPSepang juga merancang melaksanakan penggantian kabel bawah tanah bagi sistem lampu awam di Jalan Dagang Mas, penggantian lampu awam LED di jalan utama Salak Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi serta pengindahan sempadan daerah dan pemasangan lampu hiasan serta kerja-kerja berkaitan di Jambatan FT29 Cyberjaya," ujar beliau.
Sehubungan itu, katanya, MPSepang menggunakan pendekatan berstruktur dalam memastikan projek dirancang dan dilaksanakan memberi impak positif kepada rakyat.
"Skop projek yang dilaksanakan oleh MPSepang meliputi keseluruhan elemen pembangunan termasuklah infrastruktur dan sosio-ekonomi penduduk.
"MPSepang sentiasa merancang program dan projek dengan pendekatan secara komprehensif serta menyeluruh selain memastikan ketersediaan kemudahan infrastruktur dan perkhidmatan pada kos munasabah," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!