Kubur besar di Syria kebumi lebih 100,000 mayat dedah kekejaman Bashar al-Assad
QUTAYFAH - Sebuah kubur besar yang dipercayai mengandungi ribuan mayat telah ditemui di kawasan luar ibu kota Syria, di sini.
Penemuan ini didakwa menjadi bukti kekejaman rejim Bashar al-Assad, yang kini telah digulingkan.
Seorang pendakwa jenayah perang antarabangsa pada Selasa mendakwa, bukti yang diperoleh dari tapak kubur besar di Syria mendedahkan “mesin kematian” yang dikendalikan kerajaan di bawah pimpinan Assad.
Kata beliau, dianggarkan lebih 100,000 orang telah menjadi mangsa rejim Assad termasuk diseksa dan dibunuh sejak 2013 dalam tempoh konflik di negara itu.
Bercakap selepas melawat dua tapak kubur besar di bandar Qutayfah dan Najha dekat Damsyik, bekas Duta Jenayah Perang Amerika Syarikat (AS), Stephen Rapp memberitahu Reuters: “Kami yakin lebih 100,000 orang hilang dan diseksa hingga mati dalam mesin ini. Saya tidak ragu dengan angka ini berdasarkan apa yang kita lihat di kubur besar ini.”
“Kami tidak melihat hal seperti ini sejak zaman Nazi,” kata Rapp, yang pernah mengetuai pendakwaan di tribunal jenayah perang Rwanda dan Sierra Leone.
Beliau kini bekerjasama dengan masyarakat awam Syria untuk mendokumenkan bukti jenayah perang dan mempersiapkan perbicaraan pada masa depan.
“Daripada polis rahsia yang menangkap orang di jalanan dan rumah mereka, kepada pengawal penjara dan penyiasat yang membiarkan tahanan kelaparan dan menyeksa hingga mati, hingga pemandu trak serta operator jentolak yang menyembunyikan mayat - ribuan orang terlibat dalam sistem pembunuhan ini,” tambah Rapp.
“Kita bercakap tentang satu sistem keganasan negara yang bertukar menjadi mesin kematian.”
Konflik Syria cetus pertumpahan darah
Ratusan ribu rakyat Syria dianggarkan terbunuh sejak 2011 apabila tindakan keras Assad terhadap protes terhadapnya bertukar menjadi perang berskala penuh.
Baik Assad mahupun bapanya, Hafez (meninggal dunia pada 2000), sudah lama dituduh oleh kumpulan hak asasi dan kerajaan atas pembunuhan tanpa bicara, termasuk hukuman mati secara besar-besaran dalam penjara dan penggunaan senjata kimia.
Assad yang melarikan diri ke Moscow, Rusia, berulang kali menafikan kerajaannya melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan melabel pengkritiknya sebagai ekstremis.
Ketua organisasi advokasi Syria berpangkalan di AS, Mouaz Moustafa yang turut melawat Qutayfah (40 km utara Damsyik), menganggarkan sekurang-kurangnya 100,000 mayat dikebumikan di lokasi itu sahaja.
Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Orang Hilang (ICMP) di Hague turut mendedahkan menerima data yang menunjukkan 66 tapak kubur besar belum disahkan di Syria.
Lebih 157,000 orang dilaporkan hilang kepada suruhanjaya tersebut.
Ketua suruhanjaya itu, Kathryne Bomberger memaklumkan kepada Reuters, portal untuk melaporkan orang hilang kini “meledak” dengan hubungan baharu daripada keluarga mangsa.
Menurutnya, membandingkan keadaan ini dengan konflik Balkan tahun 1990-an, di mana sekitar 40,000 orang hilang, tragedi di Syria jauh lebih buruk.
Untuk mendapatkan pengesahan melalui DNA, sekurang-kurangnya tiga saudara bagi mangsa perlu menyediakan sampel DNA mereka, bersama analisis sampel setiap mayat dari kubur besar.
Namun, tapak tersebut mudah diakses tanpa perlindungan, yang boleh menjejaskan bukti untuk perbicaraan kelak.
Kisah seram penduduk tempatan
Penduduk Syria berhampiran Qutayfah - lokasi bekas pangkalan tentera - dan perkuburan Najha, tempat mayat-mayat ini disembunyikan, menggambarkan trak penyejuk tiba dalam jumlah besar untuk membuang mayat ke dalam parit yang digali dengan jentolak.
Seorang petani berhampiran perkuburan Najha, Abb Khalid, berkata: “Kubur ini disiapkan secara teratur. Trak akan tiba, memunggah ‘kargo’, dan meninggalkan kawasan itu. Kenderaan keselamatan mengiringi mereka dan tiada siapa dibenarkan mendekati. Sesiapa yang cuba mendekati akan turut menjadi mangsa.”
Bukti melalui imej satelit
Imej satelit yang dianalisis oleh Reuters menunjukkan aktiviti penggalian berskala besar bermula antara 2012 dan 2014 serta berterusan sehingga 2022.
Imej satelit dari Maxar menunjukkan mesin penggali, parit besar, dan trak yang membawa ratusan mayat ke tapak tersebut.
Seorang bekas pemimpin protes anti-Assad, Omar Hujeirati berkata, beberapa ahli keluarganya mungkin menjadi antara mangsa yang dikuburkan di sana.
Beliau kehilangan dua anak lelaki dan empat adik-beradik kerana menyertai protes terhadap kerajaan Assad.
“Itu dosa saya, sebab itu mereka mengambil keluarga saya,” katanya sambil berdiri di hadapan parit kosong yang digunakan sebagai kuburan.
Laporan tentang kubur besar Syria mula diketahui melalui pendengaran mahkamah di Jerman dan keterangan Kongres AS antara 2021 hingga 2023.
Seorang saksi yang dikenali sebagai “penggali kubur” menceritakan kerjanya antara 2011 hingga 2018, membawa dan mengebumikan ratusan mayat seminggu dari hospital tentera dan pusat tahanan rahsia sekitar Damsyik ke tapak di Najha dan Qutayfah.
Keterangan mengesahkan 300 hingga 600 mayat setiap penghantaran dibawa dalam trak penyejuk besar, di mana mereka dikebumikan serta-merta menggunakan penggali dan ditutup dengan tanah.
“Setiap minggu, dua atau tiga trak besar tiba, sarat dengan mayat mangsa penyeksaan, kebuluran, dan hukuman mati,” katanya.
“Penggali kubur” berjaya melarikan diri ke Eropah pada 2018 dan keterangan beliau kekal sebagai salah satu bukti paling penting dalam dokumentasi jenayah perang Assad. - Awani/Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!