Masjid baharu bakal manfaatkan pengguna Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang
KOTA BHARU - Lebih 1,000 jemaah bakal mendapat manfaat melalui pembinaan sebuah masjid di Taman Guchil Jaya Kuala Krai.
Masjid Ibnu Batutah di Mukim Kecil Bandar Baru Kuala Krai seluas 0.8 hektar itu juga akan memudahkan musafir yang melalui Lebuh Raya Kuala Krai-Gua Musang.
Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Dr Mohd Azmi berkata, masjid moden yang bercirikan reka bentuk ala Asia Barat dijangka menjadi mercu tanda baharu di daerah Kuala Krai.
"Tempat ibadah ini juga disediakan dengan pelbagai kemudahan awam termasuk taman rekreasi dan medan selera sekali gus sesuai menjadi lokasi rehat dan rawat untuk pengguna lebuh raya," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau memberitahu, antara komponen penting dalam pembinaannya ialah pejabat dan bilik mesyuarat, ruang jamuan terbuka, kedai runcit, gelanggang bola keranjang dan gerai makanan.
Tambahnya selain tempat solat, antara ruang penting lain yang dibina ialah bilik pengurusan jenazah, tandas orang kurang upaya dan wakaf berehat musafir.
Justeru Dr Mohd Azmi memberitahu, jumlah dana yang diperlukan ialah RM11,725,640.
Orang ramai yang ini menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Bank Islam 03072010139591 atas nama Masjid Mukim Kecil, Bandar Baru Kuala Krai (Ibnu Batutah) atau menghubungi Dr Mohd Azmi Yaacob di talian 019-6565354.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!