[VIDEO] Keputusan CEO GISBH, isteri fail habeas corpus cabar penahanan 14 Januari
JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini, pada Rabu menetapkan 14 Januari depan bagi keputusan bantahan awal terhadap permohonan habeas corpus yang difailkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali dan isteri, Azura Md Yusof.
Ia bagi mencabar penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012).
Tarikh itu ditetapkan Hakim Abu Bakar Katar selepas mendengar hujahan bantahan awal oleh peguam responden dan peguam pemohon.
Peguam responden yang diwakili Peguam Persekutuan iaitu Mohamad Firdaus Sadani Ali, Mohd Zain Ibrahim dan Nur Syahidah Mohamad Kamil dalam hujahan bantahan awal menyifatkan permohonan itu sebagai jalan 'pintu belakang' untuk membebaskan pemohon dengan menggunakan sistem mahkamah.
Mohamad Firdaus berkata, pemohon sebaliknya perlu melakukan semakan kehakiman atau kaedah lain bagi mencabar penahanan mereka bukan menerusi permohonan habeas corpus.
Sementara itu barisan peguam pemohon diketuai Datuk Rosli Kamaruddin, Najib Zakaria, Boestamam Ahmad, Dorina Abdullah, Hasnan Hamzah, Zaim Rosli, Luqman Zainal, Schanni Feizal dan Zahier Rosli.
Prosiding berkenaan turut diikuti dua peguam Majlis Peguam Malaysia, R Jayabalan dan Khairul Azwad, yang memantau bagi kepentingan awam.
Sebelum itu, Hakim membatalkan permohonan habeas corpus Pengurus Kafe Ikhwan milik GISBH di Kluang, Mohamad Suhaimi Mohd Sani, 28, selepas ia ditarik balik barisan peguam pemohon, berikutan plaintif telah dibebaskan di bawah jaminan Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, 30 Oktober lalu.
Prosiding permohonan habeas corpus Nasiruddin dan Azura itu didengar pada 30 Oktober lalu, dengan kedua-dua pemohon itu menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, Pendakwa Raya, Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia, sebagai responden.
Pada 23 Oktober lalu, Nasiruddin, Azura dan Suhaimi dilaporkan dituduh atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang mengikut Akta 130V (1) di Mahkamah Sesyen Selayang.
Tiada pengakuan direkodkan daripada mereka dan kesemua 19 individu lain kerana kes itu mengikut SOSMA berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, kesemua 13 lelaki dan sembilan wanita berkenaan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di 33-B, Jalan Desa 1/1, Bandar Country Homes Rawang, antara Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Dalam pada itu, Rosli ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, sekiranya permohonan habeas corpus Nasiruddin, 65, dan Azura, 57, dapat melepasi bantahan awal, maka pembelaan akan meneruskan hujahan merit atas permohonan berkenaan.
Katanya, permohonan habeas corpus itu mengambil kira isu penting membabitkan bantahan awal iaitu pemfailan permohonan berkenaan dilakukan sehari selepas pertuduhan ke atas pemohon di Mahkamah Sesyen Selayang.
"Ini (permohonan habeas corpus) untuk prosiding di Johor Bahru, insya-ALLAH lain-lain permohonan sama akan menyusul termasuk rayuan kepada Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
"Nasiruddin dan Azura turut bercadang untuk mencabar pertuduhan jenayah terancang yang difailkan di Mahkamah Selayang.
"Namun kes di Mahkamah Selayang belum dipindahkan di Mahkamah Tinggi, masih dalam prosesnya, jadi kami akan buat rayuan itu selain mencabar pertuduhan itu di mahkamah," katanya.
Rosli berkata, pihaknya juga akan membuat rayuan dan memohon kerajaan khususnya Jabatan Peguam Negara dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menimbang semula sama ada keperluan kes ini diteruskan di bawah undang-undang jenayah terancang dan SOSMA atau pun akan berubah status.
Beliau juga akan mencadangkan kepada kerajaan supaya memberikan budi bicara mengubah status pertuduhan dan kes terhadap semua ahli-ahli GISBH yang ditahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!