Helah GRO mengaku isteri warga tempatan tak menjadi
KUALA LUMPUR - Mengaku kononnya isteri kepada warga tempatan merupakan helah diberikan wanita pelayan pelanggan (GRO) kepada pihak penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) supaya tidak ditangkap.
Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, menerusi Ops Gegar dijalankan di sebuah premis hiburan di Kuala Lumpur pada Selasa, sejumlah 166 orang pelanggan telah diperiksa.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dilakukan itu membabitkan warga tempatan dan asing.
"Dalam serbuan dijalankan, kebanyakan GRO mengaku sebagai isteri warga tempatan tetapi mereka gagal membuktikan kesahihan dakwaan itu.
"Selain itu, ada warga asing cuba menyamar sebagai warganegara Malaysia dengan berada dalam kumpulan yang mempunyai MyKad.
"Malah ada juga GRO bertindak menyorok di bahagian dapur premis hiburan serta membuang pakaian tempat kerja bagi dielak dicekup," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Seramai 36 pegawai JIM Wilayah Persekutuan terlibat dalam Ops Gegar yang bermula jam 11.30 malam.
Wan Mohammed Saupee berkata, operasi itu telah menahan 70 individu membabitkan 10 lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 57 orang PATI wanita, manakala tiga lagi merupakan warga tempatan disyaki sebagai majikan.
"Warga asing yang ditahan terdiri daripada 46 wanita warga Thailand, lelaki China (1), lelaki Bangladesh (8), perempuan Vietnam (4), wanita Laos (5), lelaki warga India (1) serta wanita Myanmar (2)," ujarnya.
Jelasnya, wanita warga asing yang ditahan disyaki bekerja sebagai GRO.
Kata beliau, modus operandi premis hiburan tersebut adalah menyediakan GRO warga asing dengan kadar bayaran tip dikenakan antara RM100 hingga RM300.
Jelas beliau, warganegara asing yang ditahan dalam operasi itu telah dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil bagi tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!