Jangan hidupkan ‘barah’ dalam UMNO - Pemuda UMNO Kedah
ALOR SETAR - Ahli parti UMNO yang mengadakan perbincangan secara sulit bersama parti lain diminta untuk bermuhasabah diri dengan tidak melakukan keputusan terburu-buru demi kelangsungan kerjaya politik.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Mohd Safwan Jaafar berkata, jika dibiarkan, keadaan tersebut bakal menjadi satu ‘barah’ kepada UMNO mahupun politik di negara ini.
Menurutnya, mereka menyokong penuh pendirian Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkenaan pendirian UMNO yang tetap tegas dan tidak menerima atau membenarkan perlakuan ‘lompat-melompat’ ahli mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan.
“Hal ini akan memberikan impak yang negatif kepada individu dan perhubungan baik antara parti-parti Kerajaan Perpaduan.
“Lompat parti ini akan menjadi satu ‘barah’ kepada UMNO mahupun politik Malaysia. Rakyat sudah muak dengan pergerakan politik yang berpaksikan kepentingan diri dan rakyat mahukan ahli politik yang matang dan memberikan khidmat sebaiknya demi kepentingan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata demikian mengulas khabar angin Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Jelas Mohd Safwan, Pemuda UMNO Kedah berharap agar perkara ini dibincangkan sebaik mungkin oleh kepimpinan tertinggi parti Kerajaan Perpaduan agar keharmonian kerajaan dapat dikekalkan dan perancangan pembangunan negara dapat diteruskan dengan baik.
Pada Ahad, media melaporkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan wujudnya perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR.
Menurutnya, prinsip parti itu adalah terbuka kepada mana-mana pemimpin yang mampu memberi sumbangan kepada parti, tetapi ia perlu dilakukan dengan cara baik supaya hubungan dengan rakan parti lain, termasuk UMNO, tidak terjejas.
Tengku Zafrul pula dalam kenyataannya menegaskan beliau tidak membuat keputusan mengenai keahlian mana-mana parti walaupun disebut Anwar yang juga Perdana Menteri ada perbincangan awal mengenainya dengan pihak berkaitan.
Dalam masa sama, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Raja sendiri mengakui terkejut dengan kenyataan kepimpinan partinya mengenai perkara itu.
Katanya, sejak isu tersebut diperkatakan, beliau tidak menerima sebarang panggilan daripada pucuk pimpinan UMNO untuk bertanyakan isu sebenar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!