Lelaki heret kucing didenda RM10,000

Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Rabu mendenda RM10,000 seorang lelaki yang mengheret kucing peliharaannya dengan menarik tali pada leher haiwan berkenaan. Gambar hiasan
Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Rabu mendenda RM10,000 seorang lelaki yang mengheret kucing peliharaannya dengan menarik tali pada leher haiwan berkenaan. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki mengheret kucing peliharaannya dengan menarik tali yang diikat pada leher haiwan berkenaan, mengundang padah apabila Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, menjatuhi hukuman denda RM10,000.

Goh Kuan Pan, 43, selaku orang kena saman (OKS), dikenakan hukuman terbabit selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin.

Sekiranya gagal membayar denda itu, lelaki terbabit boleh dipenjara selama dua bulan.

Pada masa sama, mahkamah turut memerintahkan kucing tersebut diletakkan di bawah jagaan sementara, Jabatan Perkhidmatan Vaterinar (JPV) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mengikut pertuduhan, Kuan Pan didakwa mengheret seekor kucing baka British Shor Hair berwarna kelabu di lantai, dengan menggunakan tali, hingga mengundang penderitaan yang tidak perlu terhadap binatang tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di laluan bangunan sebuah apartmen di Jalan Klang Lama di sini antara jam 11.17 hingga 11.42 malam, 21 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(d) Akta Binatang 1953 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 44(1) Akta Binatang (pindaan) 2013 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa JPV Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Syed Hilfi Syed Ali mencadangkan OKS dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Artikel Berkaitan:

“Pendakwaan memohon, hak jagaan kucing itu diberikan kepada JPV sehingga memperoleh pemilik baharu yang sesuai untuk menjaganya,” kata Syed Hilfi.

Bagaimanapun, peguam, Gabriel Susayan yang mewakili OKS, merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana dia perlu menanggung keluarga.

Sebelum ini media melaporkan, seorang individu yang disyaki mendera kucing dalam satu video tular, baru-baru ini ditahan di rumahnya, pada 24 November lalu.

Dalam rakaman berdurasi sembilan saat, ia memaparkan seorang lelaki menganiaya kucing dengan menariknya menggunakan tali yang diikat di leher haiwan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!