Warga asing larikan diri rungkai penemuan ratusan bubu naga

Antara bubu naga yang ditemukan dalam jeti di Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang menerusi operasi dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor pada Selasa.
Antara bubu naga yang ditemukan dalam jeti di Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang menerusi operasi dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seorang lelaki nekad melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa ketika serbuan di jeti Bagan Sungai Yu, Pasir Penambang pada Selasa.

Bagaimanapun tindakan itu berjaya merungkai penemuan 320 unit bubu naga yang disorok di stor jeti berkenaan menerusi operasi dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor kira-kira jam 10 pagi.

Pengarah DOF Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, operasi berkenaan dijalankan susulan aduan dan maklumat nelayan yang diterima berkaitan kegiatan menangkap ikan menggunakan bubu naga sekitar perairan Kuala Selangor.

Beliau berkata, susulan itu anggota DOF kemudiannya digerakkan ke jeti dipercayai menjadi lokasi penyimpanan bubu naga.

Serbuan berjaya merungkai penemuan 320 unit bubu naga yang disorok di stor jeti berkenaan menerusi operasi dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor kira-kira jam 10 pagi.
Serbuan berjaya merungkai penemuan 320 unit bubu naga yang disorok di stor jeti berkenaan menerusi operasi dijalankan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Selangor kira-kira jam 10 pagi.

"Operasi dijalankan sebelum itu mendapati terdapat seorang individu dipercayai warga asing bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota DOF di lokasi.

"Pemeriksaan susulan kemudiannya menemukan 32 bakul mengandungi bubu naga didapati ditutup dengan kanvas hitam serta disembunyikan dalam stor di jeti terbabit," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Katanya, anggaran kesemua bubu naga yang dirampas bernilai kira-kira RM16,000.

Artikel Berkaitan:

"Semakan mendapati keseluruhan 32 bakul berkenaan mengandungi kira-kira 10 unit bubu naga menjadikan jumlah yang dirampas berjumlah 320 unit.

"Kesemua bubu naga itu dilihat masih basah dan dipercayai telah dicuci, bubu naga ini dipercayai digunakan untuk menangkap ikan sekitar perairan di sini," katanya.

Menurutnya, keseluruhan rampasan kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

"Tindakan ini dijalankan di bawah Peraturan-peraturan Perikanan (Larangan Cara Menangkap Ikan) (Pindaan) 2024.

"Setakat ini tiada lagi pemilik bubu naga ini yang hadir mengakui pemilikan bubu naga semasa sitaan dibuat," katanya.

Keseluruhan rampasan kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.
Keseluruhan rampasan kemudiannya dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Kuala Selangor untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Omar Abdul Rahman berkata pihaknya menzahirkan penghargaan terhadap usaha dijalankan pihak berkuasa khususnya DOF dalam usaha membanteras kegiatan bubu naga ini.

"Kegiatan bubu naga ini sememangnya banyak menyusahkan nelayan terutamanya nelayan pukat hanyut kerana ia berpotensi merosakkan jaring pukat kami.

"Selain itu kegiatan ini juga mengakibatkan ekosistem perikanan terganggu dan masa sama menjejaskan hasil tangkapan para nelayan," katanya.

Jelasnya, usaha ini seharusnya dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kegiatan bubu naga ini dibanteras sepenuhnya.

"Penggunaan bubu naga sememangnya telah lama diharamkan kerajaan dan saya harap penguatkuasaan dijalankan secara konsisten bagi memastikan ia ditangani.

"Saya mewakili warga nelayan mengucapkan terima kasih atas usaha dan kerja keras DOF ini dalam menjalankan pelbagai siri operasi bagi membanteras kegiatan ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!