Gerai ikan celup tepung musnah dibadai ombak
BESUT - Sebuah gerai ikan celup tepung diusahakan pasangan suami isteri di pantai Teluk Bayu di sini musnah setelah dibadai ombak besar dalam kejadian Isnin lalu.
Azlieya Rosli, 30, berkata, insiden menimpa gerainya berlaku akibat masalah hakisan serta fenomena air pasang besar dan hujan lebat yang melanda kawasan itu baru-baru ini.
"Selepas pulang ke rumah dari menghantar anak-anak ke sekolah pada pagi Selasa, suami saya telefon beritahu kejadian itu.
"Saya segera pergi ke kawasan gerai dan terkejut melihat hakisan yang berlaku. Hanya dalam tempoh satu malam sahaja kawasan di situ musnah," katanya ketika ditemui pemberita di pantai Teluk Bayu, dekat Kampung Pachakan di sini, pada Rabu.
Azlieya memberitahu, susulan kejadian itu dia terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM2,000 setelah barangan dan gerai perniagaannya rosak.
"Masalah hakisan yang berlaku bukan hanya menyebabkan kedai tempat saya mencari rezeki musnah sekelip mata, ia juga menyebabkan sebahagian besar barangan perniagaan dihanyutkan ombak ke laut.
"Walaupun sedih, saya perlu pasrah dan terima ujian ini dengan hati yang terbuka. Saya juga perlu segera bangkit untuk kembali memulakan perniagaan," katanya.
Dalam pada itu, ibu kepada lima anak itu berkata, lima buah gerai yang beroperasi di lokasi sama turut menunggu masa untuk runtuh.
"Fenomena sama telah berlaku dua minggu lalu sehingga menyebabkan ruang hadapan gerai saya runtuh.
"Sekarang saya hilang mata pencarian dan terpaksa bergantung dengan kerja-kerja sambilan suami dimana kadar upah diterima antara RM20 hingga RM25," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!