TYT baharu disambut meriah rakyat Sabah
KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Ketibaan bekas Ketua Menteri Sabah, Tun Musa Aman yang dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 disambut meriah oleh ribuan rakyat Sabah yang 'berkampung' di pekarangan Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini pada Rabu.
Tun Musa yang tiba di Kota Kinabalu sekitar jam 12 tengah hari dengan menaiki pesawat Jet Gulfstream G5000 dari Kuala Lumpur turut disambut oleh beberapa menteri kabinet Sabah, pegawai kerajaan dan pimpinan parti politik di negeri ini.
Antara yang dilihat hadir ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib dan beberapa pembantu menteri lain.
Turut dilihat, pucuk pimpinan daripada Barisan Nasional (BN) Sabah iaitu Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.
Tun Musa kemudian dilihat menaiki kenderaan jenis Bentley sempat melambaikan tangan dan memberikan senyuman kepada rakyat yang menanti di sepanjang laluan keluar dari Terminal 2 KKIA.
Sebelum itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kawalan ketat oleh pasukan keselamatan turut dilakukan di hadapan pintu pagar utama memasuki terminal tersebut.
Beberapa orang kenamaan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terpaksa menunggu hampir setengah jam untuk memasuki pekarangan terminal ketibaan bagi menyambut ketibaan Tun Musa.
Antara yang sempat disapa sebaik berjaya melepasi pintu utama tersebut ialah ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih; ADUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury; ADUN Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari dan ADUN Pitas, Datuk Ruddy Awah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kehadiran rakyat Sabah yang menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah yang baharu diluar jangkaan pihak polis.
Katanya, pihaknya melakukan kawalan seawal jam 8 pagi kerana mereka telah berkumpul di sini sejak awal pagi dan ada yang tiba di Kota Kinabalu pada malam Selasa.
"Kita jangkakan orang ramai yang hadir tadi sekitar 4,000 orang. Ramai dan diluar jangkaan kita kerana jangkaan awal kita hanya 2,500, lebih daripada jangkaan kerana semua daerah datang.
"Jadi penugasan kita hari ini termasuk kawalan trafik dan orang ramai melibatkan 150 orang.
"Alhamdulillah tiada kekecohan pun cuma ada sedikit kelewatan untuk kita membuka pintu pagar tadi kerana dibimbangi berlaku kekecohan sebab itu kita tidak benarkan lebih awal masuk," katanya.
Musa, 73, dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke-11 berkuat kuasa 1 Januari 2025 selepas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepadanya pada istiadat di Balairung Kecil, Istana Negara, di Kuala Lumpur pada Selasa.
Beliau dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.
Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan pada 31 Disember ini, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!