Dera bayi 11 bulan, guru taska akan didakwa Jumaat ini
SUNGAI BULOH - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan reman ke atas seorang wanita tempatan yang dipercayai mendera bayi berusia 11 bulan disambung sehingga Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, wanita berusia 24 tahun yang bekerja sebagai guru taska di Puncak Alam, di sini akan turut didakwa di mahkamah atas kesalahan mengasari dan mendera bayi lelaki tersebut.
"Reman ke atas guru taska tersebut akan disambung sehingga Jumaat ini.
"Selepas tempoh reman tamat, suspek akan terus didakwa di mahkamah," katanya ringkas kepada Sinar Harian pada Rabu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang wanita tempatan ditahan kerana mengasari dan mendera bayi lelaki berusia 11 bulan di sebuah taska.
Guru taska tersebut ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh pada Sabtu, jam 6.50 petang.
Bapa bayi tersebut membuat laporan polis menyatakan terdapat kesan lebam pada pipi dan telinga sebelah kanan anaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!