Tok Mat mohon maaf, akan bayar kompaun

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohamad
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Mohamad
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memohon maaf susulan isu tular memaparkan dirinya merokok di kawasan larangan di sebuah kedai makan.

Beliau turut mengesahkan telah menerima notis kesalahan itu yang diserahkan pegawai kesihatan Seremban.

"Saya akan bayar (kompaun), harap tak lah banyak sangat. Saya tak dapat balik ke Seremban jadi, pegawai itu datang menemui saya di sini (Putrajaya) sebab esok saya nak ke Bangkok, Thailand.

“Saya menerima notis kompaun tersebut dan notis kompaun ini akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara ditetapkan jumlah kompaun,” katanya selepas ditemui Majlis Penyampaian Cek Sumbangan Bantuan Kemanusiaan Malaysia Kepada Palestin di Bawah Inisiatif Kerajaan Hashimiah Jordan, di Putrajaya pada Rabu.

Sebelum ini, tular foto yang dimuat naik di akaun @MsianInciter memaparkan individu dipercayai Mohamad sedang memegang rokok bersama sekumpulan lelaki.

Menurut akaun X berkenaan Timbalan Presiden UMNO itu didakwa merokok di sebuah kedai makan ketika pulang ke kawasan.

Dalam pada itu, Mohamad turut memohon maaf secara tulus kepada semua jika isu menjadi kerisauan awam.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seremban diarahkan untuk berjumpa Mohamad Hasan bagi menyerahkan notis kesalahan itu.

Artikel Berkaitan:

Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini juga menegaskan tiada sesiapa yang terlepas daripada undang-undang Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) jika merokok dalam restoran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!