Saman fitnah: Guan Eng mahu faedah lima peratus daripada Muhyiddin
PUTRAJAYA - Lim Guan Eng memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan di sini berhubung sebahagian daripada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang memerintahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membayar RM1.35 juta, kerana memfitnah Pengerusi DAP itu, tahun lalu.
Ahli Parlimen Bagan itu memfailkan notis berkenaan melalui Tetuan Guok Partnership, pada 29 November lalu.
Menerusi dokumen berkenaan, Guan Eng tidak berpuas hati apabila, tiada perintah mengenai kadar faedah lima peratus setahun, ke atas semua jumlah yang diberikan mahkamah dikira dari tarikh pemfailan saman pada 27 Mac tahun lalu sehingga tarikh bayaran penuh.
Pada 8 November lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta kepada Lim Guan Eng kerana memfitnahnya membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Berikutan itu, Roz Mawar memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am sebanyak RM1.05 juta dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000.
Muhyiddin juga diperintahkan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada Guan Eng yang menjadi Menteri Kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) daripada 21 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.
Bagaimanapun Roz Mawar membenarkan memerintahkan Muhyiddin membayar RM400,000 sebelum 31 Disember ini sementara bakinya, RM1 juta sebelum atau pada 27 Januari tahun depan.
Pada 12 Disember lalu, Guan Eng memfailkan bantahan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung permohonan Muhyiddin untuk menangguhkan bayaran RM1.402 juta kerana memfitnahnya, tahun lalu.
Guan Eng, 64, selaku plaintif membuat bantahan itu menerusi Tetuan Guok Partnership dengan menamakan Muhyiddin sebagai defendan.
Pada 9 Disember lalu, Guan Eng mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin.
Ahli Parlimen Bagan itu selaku pemiutang penghakiman, memfailkan permohonan itu melalui firma guaman Tetuan Guok Partnership, dengan menamakan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selaku penghutang penghakiman.
Ia bersabit keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 November lalu yang memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkenaan, selepas didapati bertanggungjawab memfitnah.
Tuntutan pembayaran Guan Eng seperti dalam permohonan itu membabitkan jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos tindakan (RM50,000) dan alokatur (RM2,000).
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan memohon untuk menggantungkan penghakiman itu, sementara menunggu rayuannya didengar dan dilupuskan.
Muhyiddin berkata, disebabkan jumlah terlibat adalah besar, memerlukannya untuk mengumpul amaun berkenaan.
Pada 8 November lalu, Roz Mawar mengeluarkan perintah supaya Muhyiddin membayar ganti rugi berjumlah RM1.35 juta ketika membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary.
Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!