Tiga rakan tak mengaku pukul lelaki hingga parah di pusat hiburan
MELAKA - Tiga rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu, atas pertuduhan membelasah sehingga parah seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya.
Tertuduh, Norashikin Hasim,48, Hirman Mohtar,40, dan Muhammad Danial Ramlie Abdullah,24, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama tiga lagi yang masih bebas telah mencapai niat mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 31 tahun dengan menggunakan cota besi dan kayu snuker iaitu alat yang jika digunakan sebagai senjata mungkin menyebabkan kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat hiburan di Jalan Merdeka, Melaka Raya di sini, jam 3 pagi, pada 6 Disember lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Azfar Mahmud memohon mahkamah mengenakan wang jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh kerana perbuatan yang dilakukan merupakan kesalahan serius.
Bagaimanapun Peguam Daniel Savarimuthu yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan kesemua mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah kemudian memerintahkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 setiap seorang.
Dalam prosiding berasingan, ketiga-tiga tertuduh turut mengaku tidak bersalah mencederakan seorang wanita berusia 22 tahun dan lelaki berusia 36 tahun ketika dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Tindakan tersebut dilakukan di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian menetapkan kesemua mereka dijamin sebanyak RM12,000 ke atas kesemua tertuduh, selain kedua-dua mahkamah juga menetapkan 3 Februari depan sebagai tarikh sebutan semua kes dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!