'Yakin abah tak pergi jauh' - Anak
REMBAU - Keluarga warga emas, Mohd Mahat Said yang dikhuatiri hilang selepas keluar dari rumahnya di Batu 4, Kampung Air Melintang di sini, pada Isnin lalu yakin lelaki berkenaan tidak berada jauh dari kediamannya.
Anaknya, Roslina Mohd Mahat, 39, berkata, ia berikutan kedua-dua belah kaki bapanya itu tidak dapat bergerak kesan daripada kemalangan pada tahun 2002.
"Justeru abah terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selain mengesot dan hari ini masuk hari ketiga, kami berharap abah segera ditemui kerana bimbang akan keselamatannya.
"Kami juga mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin selain ada dua kumpulan pengamal perubatan alternatif yang datang secara sukarela untuk membantu mengesan dan mencari abah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya pada Rabu.
Menceritakan semula permulaan kehilangan bapanya itu, Roslina berkata, ia sedari oleh ibunya, Norlia Ahmad, 75, sebaik pulang daripada berniaga sarapan kira-kira jam 10 pagi apabila melihat kerusi roda bapanya di tengah pintu.
"Kami mencarinya di sekitar rumah namun abah gagal ditemui sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh pasukan polis dan bomba dibantu penduduk kampung sehingga kini," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, operasi SAR bekas anggota tentera berusia 78 itu turut menggunakan bantuan daripada Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan serta Unit K9 pasukan Bomba dan Penyelamat.
Dalam pada itu, Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohammad Idris berkata, pihaknya menumpukan tiga sektor dalam SAR ini menggunakan bantuan dua ekor anjing pengesan bernama Tipo dan Eros.
"Pencarian dilakukan sehingga ke kawasan sungai namun setakat ini masih tidak menemui sebarang petunjuk. Oleh itu pada petang ini, kita akan menggunakan khidmat dron tetapi ia bergantung kepada keadaan cuaca," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!