Maritim cekup empat nelayan warga asing
KUALA SELANGOR - Empat nelayan warga asing ditahan Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor, di kedudukan 6.2 batu nautika barat daya Tanjong Karang di sini, pada Rabu.
Semua mereka itu ditahan kira-kira jam 12.45 pagi oleh kapal peronda Maritim Malaysia ketika dalam rondaan 'Op Ehsan' dan 'Op Tiris 3.0' semasa sedang leka melakukan aktiviti perikanan di kawasan itu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, hasil pemeriksaan mendapati vesel nelayan tempatan B1 itu dikendalikan seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar dalam lingkungan usia 29 hingga 43 tahun.
"Pemeriksaan lanjut turut mendapati, vesel terbabit menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah.
"Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, kesemua nelayan itu ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk tindakan lanjut.
Tegas beliau, Maritim Malaysia akan meneruskan pemantauan dan rondaan di sempadan perairan negara serta memandang serius terhadap kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar zon ditetapkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia.
Orang ramai boleh membuat sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta insiden kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor melalui talian 03-31760627 atau 999 untuk maklum balas segera.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!