Impak positif Duta Sahsiah
ISKANDAR PUTERI – Empat pelajar yang juga Duta Sahsiah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini di sini, bersemangat dan bertekad untuk membantu menangani pelbagai permasalahan dalam kalangan pelajar.
Duta Sahsiah sesi 2024/2025, Muhammad Hadif Imran Helmee, 16, menyifatkan ia satu tanggungjawab besar dalam membantu menyelesaikan masalah rakan-rakan sebayanya di sekolah berkenaan.
“Peranan kami sebagai Duta Sahsiah ini adalah untuk membantu membimbing rakan-rakan lain, jika ada masalah di sekolah kami akan cuba untuk bantu mereka sebelum mereka berjumpa guru.
“Ini kerana, mungkin dengan rakan-rakan, lebih mudah untuk mereka berinteraksi dan meluahkan apa yang ‘terbuku’ di hati.
“Setakat ini, kami juga banyak dibantu oleh guru kaunseling seperti Cikgu Nadia dan Cikgu Zura dalam mendekati pelajar-pelajar bermasalah ini,” katanya.
Untuk rekod, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada November lalu telah melancarkan Kit Duta Sahsiah sebagai satu inisiatif bertujuan memperkasakan murid yang telah dilantik sebagai duta sahsiah, iaitu individu yang mempunyai teladan positif dalam mempromosikan nilai-nilai murni, seperti disiplin, integriti dan tanggungjawab bagi mempengaruhi rakan sebaya dalam komuniti mereka.
Seorang lagi Duta Sahsiah, B Shavithasri Nair, 16, pula berkata, dia akan cuba membantu sedaya upaya membantu pelajar yang datang mengadu masalah kepadanya.
Katanya, dia akan mendengar permasalahan-permasalahan yang diluahkan oleh pelajar sebelum memberikan nasihat.
“Saya seorang yang suka mendengar apa juga masalah yang diadukan kepada saya, terutamanya daripada pelajar yang datang dan berkongsi masalah dengan saya.
“Pada mulanya, saya akan cuba bantu mereka, nasihatkan mereka dan jika tak mampu, saya akan minta bantuan daripada guru kaunselor di sekolah,” katanya yang menggalas tanggungjawab selaku Duta Sahsiah bagi sesi 2024/2025 di sekolah berkenaan.
Bagi Giong Chuan Xuan, 16, peranan yang dimainkan oleh Duta Sahsiah ini sangat penting terutamanya bagi membantu melancarkan lagi tugas guru-guru di sekolah terutamanya dalam menangani permasalahan dalam kalangan pelajar.
Malah kata Duta Sahsiah bagi sesi 2004/2025 ini lagi, kewujudan Duta Sahsiah mampu memberikan impak yang tersendiri kerana mereka ini akan dapat mendekati dan sekali gus membantu menangani pelbagai masalah yang wujud dalam kalangan pelajar hari ini.
“Bagi saya, Duta Sahsiah ini sangat penting... ini kerana cikgu mungkin tak dapat nak bagi perhatian kepada semua murid.
“Jadi, di sinilah kami memainkan peranan bagi membantu terutamanya bagi menangani dan menyelesaikan masalah yang wujud dalam kalangan pelajar dan kemudian menyelesaikannya,” katanya.
Sementara itu, Duta Sahsiah sesi 2023-2024,'Cheng Kai Neng, 17, berkata, peranan dan tanggungjawab seorang Duta Sahsiah sebenarnya agak besar dan adakalanya cukup mencabar.
“Sepanjang menjalankan tanggungjawab selaku Duta Sahsiah, saya telah banyak membantu menyelesaikan permasalahan dalam kalangan pelajar.
“Sebagai contoh, saya dapat membantu rakan yang kena buli dengan memanggil dan mendengar masalah mereka dalam sesi kaunseling.
“Jika masalah tersebut tidak dapat diselesaikan, saya akan merujuk kepada pihak guru kaunseling,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!