Malaysia sasar tingkat kerjasama, perdagangan dengan negara lain pada 2025 - Rafizi

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan terus menggandakan strategi mengukuhkan kerjasama dan perdagangan dengan negara-negara lain pada 2025, berpandukan tiga prinsip asas diamalkannya dalam berurusan dengan pihak asing.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tiga aspek itu adalah keutamaan pembangunan, prinsip jiran yang baik serta pemikiran yang melangkaui perdagangan.

Sehubungan itu, beliau berkata, fokus model lama pelaburan langsung asing (FDI) di Asia Tenggara perlu berubah daripada yang menumpukan insentif cukai dan pengambilan pekerja kos rendah kepada model pemindahan teknologi serta inovasi asli untuk mencipta kejayaan.

“Kecuali Singapura, negara-negara Asia Tenggara yang paling pesat membangun pun turut terjebak dalam perangkap pendapatan sederhana - terlalu mahal untuk bersaing dalam pembuatan kos namun tidak cukup inovatif untuk bersaing dalam aspek teknologi.

“Kita ditekan dari bawah (kos) serta atas (teknologi)," katanya ketika bercakap pada Sesi 5 Persidangan Kepimpinan, Sidang Kemuncak Malaysia-China 2024 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Rafizi berkata, pada 2025, kementerian akan menekankan model kerjasama teknologi dengan negara-negara lain yang menumpukan aspek harta intelek, penyelidikan dan pembangunan serta pemilikan dalam usaha untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana.

“Ini akan dilakukan apabila Kementerian Ekonomi melancarkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada tahun depan,” katanya.

Mengulas prinsip kedua, Rafizi berkata, dasar jiran yang baik bukanlah prinsip dari segi moral semata-mata tetapi turut berteraskan prinsip strategik ekonomi.

Artikel Berkaitan:

“(Perjanjian antara Malaysia dan Singapura bagi) Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura yang dijadual dimeterai pada Januari 2025, membuktikan kita masih mampu mengekalkan persaingan sihat dan bekerjasama dalam bidang yang saling berkepentingan kerana yakin negara jiran yang baik juga dapat meningkatkan lagi kemakmuran,” katanya.

Merujuk prinsip pemikiran melangkaui perdagangan sempadan, Rafizi berkata Malaysia merupakan negara pertama di Asia Tenggara menjalin hubungan diplomatik dengan China dan kedua-dua negara sedang meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan itu.

“Ini kerana kita mengiktiraf nilai yang melangkaui perdagangan dan pada 2025, kita akan meneruskan kerjasama ekonomi global bagi meraih lebih banyak manfaat," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!