'Cabut pintu PPR bukan zalim, tapi beri pengajaran' - Arul Kumar

Notis peringatan membayar tunggakan sewa dipasang di PPR Paroi. Gambar kecil: Arul Kumar
Notis peringatan membayar tunggakan sewa dipasang di PPR Paroi. Gambar kecil: Arul Kumar
A
A
A

SEREMBAN - Tindakan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) mencabut pintu rumah penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai tunggakan melebihi RM15,000 adalah antara bentuk penguatkuasaan yang dilakukan agensi itu.

Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar berpendapat, ia bukannya satu tindakan zalim sebaliknya bagi memberi pengajaran kepada mereka yang culas.

"Bagi pandangan saya MBS bukannya mahu bertindak kejam tetapi itu bagi memberi pengajaran kepada penyewa yang masih gagal menjelaskan tunggakan.

"Cuba bayangkan jika rumah itu milik bank, semestinya mereka sudah lama diminta keluar. Tetapi MBS masih berikan peluang untuk mereka bayar tunggakan sewa sebelum tindakan (cabut pintu) itu dilakukan" katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Terdapat sembilan penyewa di PPR Paroi yang mempunyai tunggakan melebihi RM15,000
Terdapat sembilan penyewa di PPR Paroi yang mempunyai tunggakan melebihi RM15,000

Beliau berkata demikian mengulas tindakan MBS mencabut pintu rumah penyewa PPR Paroi yang mempunyai tunggakan melebihi RM15,000 baru-baru ini.

Menurut Arul Kumar, beliau difahamkan kadar sewa rumah PPR tersebut hanya RM150 dan tidak sepatutnya dibiarkan tertunggak sehingga belasan ribu.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun murah macam ini pun tapi ada yang sengaja tak mahu bayar dan ia sangat mengecewakan kita.

"Saya juga dimaklumkan selepas beberapa jam MBS ambil tindakan, ada yang datang bayar dan ini menunjukkan mereka sebenarnya mampu tetapi mungkin sengaja tak mahu bayar kerana beranggapan itu rumah kerajaan," katanya.

Tambahnya, mereka sepatutnya bersyukur kerana terpilih untuk menyewa di situ sedangkan masih ramai yang menunggu peluang terbabit.

Jelasnya, rumah seumpama itu diwujudkan kerajaan bertujuan membantu mereka yang berpendapatan rendah dan setiap penyewa perlu bertanggungjawab atas peluang diberi.

"Saya juga dimaklumkan ada penyewa yang jadikan rumah PPR sebagai stor dan disewakan kepada orang lain.

"Kita sedang mengambil tindakan dan melakukan pemutihan. Walaupun ada netizen kata kita kejam, tapi ramainya memberi komen positif," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, berdasarkan rekod, terdapat sembilan penyewa di PPR Paroi yang mempunyai tunggakan melebihi RM15,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!