MRL CCCECRL meterai usaha sama pengoperasian ECRL
PUTRAJAYA - Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) memeterai usaha sama 50:50 yang akan mengawasi operasi ECRL sepanjang 665 kilometer.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, usaha sama bagi pengoperasian dan penyelenggaraan rangkaian rel ECRL yang menghubungkan Kota Bharu ke Pelabuhan Klang membolehkan syarikat operasi (OpCo) itu berkongsi kos serta memudahkan pertukaran pengetahuan teknikal dan kepakaran.
"MRL dan CCCECRL masing-masing akan menanggung 50 peratus daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi dengan defisit manakala keuntungan pula diagihkan kepada Malaysia sebanyak 80 peratus dan selebihnya milik China," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Perjanjian Usaha Sama Antara MRL dan CCCECRL Bagi Pengoperasian dan Penyelenggaraan Rangkaian Rel ECRL di sini pada Rabu.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Duta China, Ouyang Yujing.
Menurutnya, MRL akan memiliki sepenuhnya aset ECRL bagi pihak Kerajaan Malaysia sepanjang fasa pengoperasian ECRL.
"Langkah ini bagi memastikan kepentingan negara dilindungi pada setiap masa serta membolehkan pemerkasaan tempatan dalam infrastruktur nasional ini," jelas Anthony.
Beliau berkata, perjanjian usaha sama itu sejajar dengan hasrat Kerajaan Malaysia dalam memperkasa sektor rel negara untuk memperbanyakkan perkhidmatan kereta api serta membuka peluang pekerjaan bagi golongan belia khususnya berkaitan bidang kejuruteraan dalam sektor perindustrian dan lokomotif.
"Perjanjian Pengoperasian ECRL juga tepat pada masanya dengan status Projek ECRL yang telah mencapai tahap kemajuan keseluruhan yang membanggakan, iaitu sebanyak 76.06 peratus setakat November lalu," katanya.
Ujar Anthony, kemajuan itu telah mencecah sasaran Projek ECRL untuk tahun ini dan selari dengan jadual penyiapan jajaran fasa pertama dari Kota Bharu ke Terminal Bersepadu Gombak pada Disember 2026.
Jajaran fasa kedua antara Gombak dan Pelabuhan Klang adalah menjelang Disember 2027.
Sementara itu, Anthony berkata, rumah penduduk di kawasan sekitar tapak pembinaan ECRL yang terkesan dengan bencana banjir berikutan projek itu akan diuruskan oleh pihak kontraktor termasuklah bayaran pampasan.
"Saya fikir mitigasi banjir adalah sebahagian daripada projek ini.
"Dalam pembinaan, kita akan menghadapi cabaran operasi dan cabaran pembinaan.
"Mana-mana kawasan yang mudah banjir perlu diberi perhatian oleh MRL dan rumah yang terjejas, sudah tentu akan diuruskan oleh pihak kontraktor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!