[VIDEO] 'Rasa berat hati nak hantar mak balik'
SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Perasaan berat hati untuk menghantar ibunya pulang ke rumah selepas selesai urusan dialisis menyelamatkan wanita itu daripada menjadi mangsa kebakaran rumah di Taman Pelangi, Sikamat di sini.
Kejadian pada petang Sabtu itu diceritakan kembali Muhammad Aizan Salehudin, 29 ketika mengenangkan keadaan ibunya, Saripah Leha Syd Hussin, 71 yang tidak mampu lagi bergerak kesan daripada penyakit yang dihadapinya.
Katanya, dia telah menghantar ibu ke rumah kakaknya di sekitar Sikamat selepas rawatan tersebut manakala isterinya selesai bekerja jam 7 malam dan anaknya berada di rumah pengasuh.
"Biasanya memang hantar mak balik terus selepas dialisis tetapi hari itu rasa berat hati, jadi hanya saya seorang berada di rumah sebelum keluar bekerja jam 5.30 petang, tetapi saya berpatah masuk rumah sebab ingin ke bilik air.
"Ketika dalam bilik air, saya rasa bahang dan melihat asap dan api sudah memenuhi ruang rumah. Saya sempat keluarkan tong gas dan beberapa dokumen penting sahaja," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Rabu.
Ujarnya, sekiranya ibu dan anaknya berada dirumah, tidak dapat membayangkan keadaan ketika itu tambahan pula ibunya hanya terlantar kerana api cepat marak.
"Saya bersyukur ia tidak melibatkan kemalangan jiwa, walaupun perasaan sedih ada sebab ia rumah yang kami beli sendiri dan baru tiga tahun lebih kami duduk," katanya.
Katanya, buat masa ini isteri dan anaknya tinggal sementara di rumah ibu mentuanya manakala ibunya berada di rumah kakaknya.
"Terima kasih kepada semua pihak termasuk jiran-jiran yang prihatin dan membantu kami sekeluarga," katanya.
Sementara itu, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) telah menziarahi keluarga tersebut dan menyampaikan bantuan wang tunai kecemasan serta kit bencana baru-baru ini.
Sinar Harian difahamkan, Saripah Leha adalah penerima bantuan hemodialisis melalui amanah zakat MAINS berjumlah RM3,000 sebulan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!