Jangan normalisasi watak kesyirikan
SAMBUTAN Hari Kanak-Kanak Sedunia yang berlangsung setiap tahun kini dicemari dengan trend yang membimbangkan iaitu memperagakan watak animasi yang berkaitan dengan sihir, ilmu hitam dan kuasa gelap.
Fenomena ini kian merebak bukan sahaja dalam kalangan murid sekolah, malah turut disemarakkan oleh golongan dewasa dalam pelbagai majlis.
Trend mendandani diri sebagai watak seperti Maleficent, Harry Potter dan seumpamanya bukan sekadar hiburan semata-mata, malah ia membawa implikasi yang amat serius terhadap pembentukan akidah dan pemikiran kanak-kanak Muslim.
Rasulullah SAW dengan jelas memberi amaran keras dalam sebuah hadis bermaksud: "Sesiapa yang meniru gaya sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam kalangan mereka." (Hadis Riwayat Abu Dawud)
Nas ini menunjukkan bahawa tindakan meniru budaya dan amalan pihak lain yang bertentangan dengan syariat Islam adalah satu kesalahan yang amat besar.
Dalam konteks hadis yang diriwayatkan, Rasulullah SAW dengan jelas mengarahkan umatnya untuk membezakan diri daripada amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam.
Apabila kanak-kanak didedahkan secara berterusan dengan watak-watak yang mempromosikan sihir, ilmu hitam, kuasa gelap dan amalan syirik, ia secara beransur-ansur akan menghakis keimanan mereka dan menganggapnya suatu kepercayaan dan amalan yang normal.
Imaginasi kanak-kanak yang masih polos mudah terpengaruh dengan unsur-unsur khayalan yang ditonjolkan dalam media hiburan moden.
Watak-watak seperti ahli sihir dalam animasi dan filem kanak-kanak sering digambarkan sebagai individu yang mempunyai kuasa terpendam, boleh mengubah keadaan dan mampu mengatasi had kemanusiaan.
Ini bertentangan dengan akidah Islam yang menegaskan bahawa segala kuasa mutlak hanya milik ALLAH SWT.
Pendedahan berterusan terhadap watak-watak berkuasa gelap ini berpotensi mencacatkan konsep tauhid dalam diri kanak-kanak.
Mereka mula menganggap normal untuk mempercayai kuasa selain daripada Allah, satu titik permulaan yang amat berbahaya dalam perjalanan rohani seorang Muslim.
Ibu bapa, guru dan masyarakat bertanggungjawab menghalang trend ini daripada terus berkembang.
Kita perlu membimbing generasi muda supaya memahami bahawa hiburan tidak semestinya bermakna menerima sepenuhnya falsafah dan amalan yang dibawanya.
Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membendung trend yang membimbangkan ini.
Kita perlu mendidik generasi muda dengan pemahaman yang kukuh tentang akidah, membina benteng iman yang kuat dan menghalang unsur-unsur yang berpotensi mencemarkan kesucian akidah mereka.
Tema pakaian alternatif untuk majlis sambutan hari kanak-kanak atau acara dewasa boleh merangkumi konsep budaya warisan tempatan seperti pakaian tradisional Melayu, pakaian etnik atau tema bertunjangkan kearifan tempatan.
Pilihan lain termasuk pakaian profesion seperti cita-cita kanak-kanak, pakaian sejarah atau tema inspirasi yang menggalakkan kreativiti dan semangat kebudayaan Malaysia.
Marilah kita bertindak bijak, mengambil pendekatan preventif (mencegah) dan memastikan generasi muda kita berkembang dalam lindungan akidah yang murni dan tidak tercemar dengan amalan yang boleh menggugat keimanan mereka.
***DR MOHD KHAIRULNAZRIN MOHD NASIR merupakan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Pusat Pendidikan Universiti Malaya (UMEC) Bachok, Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!