Kes pukul pelajar: UMT tidak berkompromi, jalankan siasatan dalaman
KUALA TERENGGANU - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) tidak akan berkompromi dengan para pelajar yang terbabit dalam kes pukul melibatkan seorang pelajar lelaki di kolej kediaman universiti tersebut.
Pejabat Komunikasi Korporat universiti itu dalam kenyataan pada Rabu berkata, pihaknya menzahirkan rasa dukacita dan memandang serius berhubung insiden berkenaan.
Jelas kenyataan itu, pihaknya mengesahkan terdapat laporan salah laku pelajar yang dibuat kepada pihak polis pada Selasa.
"UMT tidak dapat mengulas lebih lanjut, namun bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak polis dan menunggu hasil siasatan.
"Pada masa sama, kita sedang menjalankan siasatan dalaman dan menegaskan bahawa setiap pelajar hendaklah sentiasa mematuhi Kaedah-Kaedah Universiti Malaysia Terengganu (Tatatertib Pelajar) 2024," kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, katanya, sebagai sebuah universiti berkepentingan awam, UMT sentiasa berusaha memastikan aspek keselamatan dan kesejahteraan pelajar terpelihara serta tidak dikompromikan.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan seramai 12 pelajar universiti itu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes pukul membabitkan pelajar lelaki berusia 20 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 22 tahun itu ditahan jam 6 petang pada Selasa selepas pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!