Suami isteri ditahan bawa daging babi tanpa permit sah
KOTA BHARU - Sepasang suami isteri ditahan di pintu masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) ketika membawa masuk dua kilogram daging babi tanpa kebenaran Rabu minggu lalu.
Ketua Pintu Masuk Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Mohd Ariwadi Mohd Salleh berkata, pasangan warga tempatan berusia 40-an itu ditahan pada jam 2.30 petang selepas pemeriksaan rutin oleh Pegawai Penguasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di balai ketibaan lapangan terbang itu.
"Pemeriksaan mendapati daging babi berada di dalam beg pakaian dan tiada sebarang dokumen pengimportan sah daripada Maqis dan Sijil Kesihatan Veterinar," katanya pada Rabu.
Beliau memberitahu, siasatan lanjut suami isteri itu memaklumkan daging itu hanya untuk hidangan mereka sekeluarga di rumah.
Menurutnya, tindakan penahanan dilakukan bagi memastikan risiko kemasukan penyakit african swine fever (ASF) ke negara Malaysia dapat dicegah.
Jelas beliau, mengimport keluaran pertanian, tumbuhan, binatang, karkas, ikan, tanih dan mikroorganisma tanpa permit, lesen atau perakuan yang sah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta 728.
Katanya lagi, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali.
"Maqis akan sentiasa memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan keterjaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan penduduk di negara ini," katanya.
Mohd Ariwadi memberitahu, usaha itu dapat mengawal kemasukan penyakit yang boleh mengancam industri penternakan dan makanan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!