Tiga ekor gajah liar ganggu penduduk Kuala Balah ditangkap
JELI - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap tiga ekor gajah liar yang mengganggu penduduk di Kampung Kuala Balah di sini pada Selasa.
Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, sebelum itu pihaknya menerima aduan berhubung gangguan hidupan liar itu pada Isnin.
"Tangkapan kesemua gajah itu sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan terbabit.
"Seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman serta harta benda akibat konflik berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, operasi pemindahan dan pelepasan haiwan liar itu ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.
Ujarnya, operasi pemindahan ini turut melibatkan kakitangan Perhilitan Kelantan.
Mohamad Hafid menjelaskan bahawa tindakan bagi mengurangkan konflik yang berlaku di kawasan berkenaan telah dijalankan dengan memberi khidmat nasihat kepada penduduk khususnya pekebun agar mengambil langkah-langkah mitigasi.
"Antaranya memasang lampu led biru di laluan yang dikenalpasti sebagai laluan masuk gajah serta membersihkan kebun.
"Tangkapan dan pemindahan gajah liar bukanlah penyelesaian jangka panjang memandangkan kawasan kebun berkenaan adalah berhampiran dengan kawasan HSK Stong Utara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!